Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 16, 2017

[TIOMAN] PECAH REKOD MBR, TANAM 4824 TERUMBU KARANG


asdf


Leges Divers bersama Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang berjaya mencipta sejarah dengan menanam 4824 terumbu karang dalam tempoh 1 jam di Kampung Salang, Pulau Tioman, hari ini.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding yang disasarkan pada peringkat awal iaitu sebanyak 4680 terumbu karang dengan 65 rangka PVC dan memecahkan Malaysia Book Of Records (MBR).

Pengarah JTLM Pahang, Mohd Fazli Long, berkata, rekod terdahulu yang pernah dibuat adalah pada Januari 2014 selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya menanam sebanyak 3040 terumbu karang di Pulau Manukan, Sabah.

"Sebanyak 67 rangka PVC telah digunakan dengan setiap satu rangka akan ditanam 72 terumbu karang dengan jumlah keseluruhan terumbu karang sebanyak 4824 melibatkan 153 penyelam skuba.

"Program ini mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun NGO serta penglibatan para belia selain liputan media yang banyak membantu sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Program Restorasi Karang Peringkat Kebangsaan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Laut Malaysia, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), Reef Check Malaysia, Berudu Diver, Redtech Offshore, Berjaya, iM4U dan banyak lagi.

Sementara itu, Pengarah Program Leges Divers, Rysha Mustaffa, berkata, peranan belia adalah untuk membentuk masa depan negara menjelang 2050 dengan memberikan sumbangan tenaga dan penglibatan secara langsung menerusi aktiviti-aktiviti seperti yang dianjurkan bersama JTLM Pahang.

"Kita harap program sebegini dapat membuka mata pelbagai pihak dalam usaha memantau pertumbuhan karang laut di perairan negara selain menjaga ekosistem dan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Usaha sebegini juga dapat mewujudkan kawasan selam skuba baharu agar aktiviti pelancongan di sini dapat ditingkatkan dan melahirkan “Reef Ambassadors” di kalangan penyelam skuba golongan muda," katanya.

Menuru Rysha, program itu turut disertai pelancong asing dan ia merupakan petunjuk yang positif serta berharap cerita mengenai program itu akan disampaikan kepada kenalan di negara mereka yang secara tidak langsung menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Tioman khususnya Kampung Salang.


0 comments:

share2