Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 13, 2017

[ROMPIN] HASILKAN KEROPOK LEKOR PUTIH


Hasilkan keropok lekor putih


Keropok lekor jenis putih yang dihasilkan Perusahaan Keropok Lekor Sarang Tiong adalah demi menyesuaikan rasanya dengan selera masyarakat setempat di sekitar Kuala Rompin serta Endau, Johor.

Diasaskan oleh Noor Iskandar Ismail, 48, perusahaan itu dibuka pada penghujung 2010 selepas memilih untuk berhenti kerja di sebuah kolam udang di Nenasi, Pekan.

Berasal dari Dabong, Kelantan dan menetap bersama isterinya di Jalan Bayan, Kampung Sarang Tiong, Kuala Rompin, idea untuk membuat keropok lekor itu muncul selepas mendapati di sana mudah untuk mendapatkan bekalan ikan.

Biar pun tiada latihan atau kursus, usahanya menerusi konsep cuba dan buat dalam menghasilkan keropok lekor membuahkan kejayaan dan kini mendapat permintaan tinggi daripada peniaga.

Mengakui ada cuba mempelajari cara membuat keropok lekor dengan pengusaha lain namun kemahiran itu ada kalanya sukar dikongsi.

Tidak terlepas berdepan risiko, peringkat awal perniagaan pendapatan diperoleh cukup makan namun Noor Iskandar tidak sangka produknya mula dikenali sejak dua tahun lalu.

“Selepas lama kerja di kolam udang, saya rasa nak berhenti kerja tapi fikir kerja apa nak dibuat. Akhirnya datang idea buat keropok lekor sebab sini mudah dapat stok ikan.

“Disebabkan bermula dengan cuba-cuba, jadi banyak makan masa sebelum berjaya menghasilkan keropok lekor yang boleh diterima penduduk setempat iaitu memiliki identiti tersendiri, tak sama dengan keropok lekor Terengganu,” katanya.

Beliau menjelaskan, masyarakat di Tanjung Gemok dan sekitarnya gemar dengan keropok lekor jenis putih iaitu ada rasa ikan, lembut namun tidak gemar keropok lekor Terengganu yang warnanya lebih gelap serta sedikit keras.

Katanya, bahan untuk membuat keropok lekor jenis putih menggunakan beberapa jenis ikan tidak kira daging bewarna gelap atau putih manakala ia lebih lembut disebabkan kaedah penggunaan tepung.

Bagaimanapun, dia mengakui buat masa ini cabaran yang dihadapi adalah masalah stok ikan sekali gus mempengaruhi harga hingga terpaksa sesuaikan dengan kos agar tidak menanggung rugi dalam masa sama pelanggan tetap berpuas hati.

“Setakat ini Keropok Lekor Sarang Tiong hanya dipasarkan di sekitar Endau dan Rompin yang menggunakan sebanyak kira-kira 100kg ikan sehari. Saya buat tiga jenis iaitu besar, kecil, dan sosej atau juga dikenali sebagai losong, saya panggil sosej sebab saiznya lebih kecil berbanding losong di Terengganu,” katanya.


0 comments:

share2