Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 13, 2017

[ROMPIN] ELAK LETAK POKOK BUNGA ATAS LONGKANG


Elak letak pokok bunga atas longkang


Penduduk kawasan taman perumahan perlu memastikan bahagian belakang iaitu jalan atau longkang tidak terhalang dengan apa-apa objek atau sisa yang boleh menyukarkan kerja pembersihan.

Pengurus Alam Flora Cawangan Rompin, Mohd Hadzlin Nadzri berkata, kawasan longkang taman perumahan akan dibersihkan mengikut jadual ditetapkan namun pihaknya kerap menghadapi masalah sekiranya longkang ditutup atau jalan dihalang oleh benda yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, sebahagian penduduk gemar menanam pokok di taman perumahan namun tidak menjaganya dengan baik lalu ia mengakibatkan naik semak terutama di bahagian belakang.

"Kerja-kerja pembersihan longkang biasanya jadi sukar apabila tuan rumah tutup longkang dan letak pasu yang ditanam pokok seperti cili atau sebagainya, ia bagus cuma lokasinya tak sesuai.

"Jalan belakang rumah adalah untuk laluan tetapi kebanyakannya tak boleh dilalui sebab halangan benda-benda sebegini termasuk sisa binaan seperti pasir atau simen," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Hadzlin berkata, operasi pembersihan longkang yang dilakukan secara berkala itu adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengelak wujudnya penyebaran penyakit seperti demam denggi.

Beliau bagaimanapun mengambil inisiatif dengan memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan agar membersihkan kawasan belakang rumah agar kerja pembersihan dapat dilakukan.

Beliau turut menyarankan agar pemilik rumah yang mahu bercucuk tanam menggunakan pasu, bukan tin cat terpakai untuk menanam pokok dan mengelak meletakkannya di atas longkang.

"Bagi mengatasi masalah ini saya telah berjumpa dan memaklumkan kepada penduduk berkaitan operasi pembersihan, saya sangat menghargai kerana mereka beri memberikan kerjasama dengan mengosongkan ruang-ruang yang sepatutnya tidak terhalang.

"Sebenarnya mereka juga mahu kawasan luar rumah dalam keadaan bersih, jadi tiada masalah untuk bekerjasama dalam masa sama saya nasihatkan supaya urus kawasan luar rumah dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan penduduk perlu meletakkan barang-barang seperti pintu rosak, perabot dan sisa kebun di tepi tong sampah hadapan rumah, bukan di belakang rumah supaya boleh diambil mengikut jadual dtetapkan.


0 comments:

share2