Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 15, 2017

POS MALAYSIA LANCAR SIRI SETEM MRT


setem


Kuala Lumpur - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meneruskan penerbitan siri setem bertemakan kereta api dengan edisi terkini menampilkan Transit Aliran Massa (MRT) yang boleh didapati Isnin ini, bersempena permulaan operasi sepenuhnya Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata, koleksi setem tersebut menampilkan tiga setem iaitu kereta api MRT Laluan SBK dengan penumpang (90 sen); stesen bertingkat inspirasi reka bentuk wakaf (80 sen) serta kereta api MRT dan bas pengantara MRT (60 sen).

Bagaimanapun, katanya, hanya terdapat 304,000 keping setem 60 sen serta 132,000 keping untuk setiap setem 80 sen dan 90 sen.

"Orang ramai digalakkan merebut setem MRT yang pertama di Malaysia kerana bilangan salinannya terhad," katanya pada sesi pratonton media siri setem tersebut di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, di sini, semalam.

Menurutnya, lembaran mini siri setem tersebut memaparkan pandangan perspektif kereta api MRT, bertujuan menyerlahkan pembuatan dan reka bentuk kereta api berkenaan.

"Produk filateli lain seperti sampul surat hari pertama dengan risalah percuma juga boleh didapatkan dengan harga 55 sen sekeping manakala folder berharga RM6.35 setiap satu. Set lengkap folder siri setem ini boleh didapati pada harga RM69.85 setiap satu," katanya.

Diyana berkata lembaran mini yang berharga RM5.30 sekeping akan dikeluarkan sebanyak 35,000 keping, sampul surat hari pertama sebanyak 45,000 keping dan set folder sebanyak 3,300 set.

Beliau berkata Pos Malaysia sebelum ini telah menghasilkan beberapa siri setem yang menampilkan kereta api dan landasan kereta api di negara ini termasuk setem 100 Tahun Landasan Keretapi Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 1985; Pemodenan Pengangkutan Kereta Api (1998) dan Express Rail Link (2002).

Dalam pada itu, Diyana turut menggalakkan pengumpul setem membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) untuk memudahkan urusan membeli siri setem terkini.

"Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau melalui atas talian di www.posonline.com.my.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang www.pos.com.my atau kunjungi cawangan Pos Malaysia terdekat atau Galeri Setem di Aras 2, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi," jelasnya.


0 comments:

share2