Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 3, 2017

MTUC SOKONG TINDAKAN TEGAS IMIGRESEN


MTUC


Shah Alam - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong tindakan tegas Jabatan Imigresen terhadap majikandan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang gagal melakukan pendaftaran Enforcement Card (E-Kad) setelah tamat tempoh 30 Jun lalu.

Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata, tindakan itu buktikan kesungguhan pihak berkuasa menguatkuasakan peraturan yang telah ditetapkan.

“Sebelum ini pelbagai program telah dilaksanakan, namun malangnya penguatkuasaan sangat lemah menyebabkan majikan mengambil sikap sambil lewa.

“Dengan pelaksanaan operasi ini, majikan akan membuka mata dan lebih ramai Pati dapat diberkas dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak imigresen tidak perlu untuk melanjutkan lagi tempoh masa, kerana ini bukan melibatkan keperluan negara.

“Pati ini adalah mereka yang melanggar kedaulatan negara dengan memasuki negara ini secara haram. Apabila sudah ditetapkan tempoh untuk majikan mendaftarkan mereka, sepatutnya inisiatif ini diambil oleh pihak majikan.

“Tetapi mereka masih berdegil. Maka, tindakan operasi besar-besaran oleh imigresen ini wajar dilakukan. Tangkap pati ini dan hantar mereka pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali sebelum ini dilaporkan berkata, tempoh permohonan E-kad yang membolehkan penggajian semula Pati yang berakhir pada 30 Jun ini tidak akan dilanjutkan.

Katanya, bermulai 1 Julai lalu, operasi besar-besaran menggempur Pati yang gagal didaftarkan oleh majikan masing-masing akan diadakan di seluruh negara dan pekerja asing yang ditangkap akan diusir keluar.


0 comments:

share2