Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 7, 2017

MAHATHIR 'U-TURN' KINI AKUR ANWAR BOLEH JADI BAKAL PM






Akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa ‘menekan butang kecemasan’ apabila memilih bekas musuh utamanya dalam arena politik tanah air sebagai calon Perdana Menteri.

Perkara pelik Mahathir ini memang diduga susulan Pakatan Harapan (PH) dilihat amat terdesak kerana ketiadaan tokoh yang boleh memimpin mereka waima Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi di dalam penjara atas kes liwat.

Tindakan kelakar Mahathir yang sanggup tidak menolak untuk menjulang Anwar sebagai Perdana Menteri jika PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bolehlah diumpamakan tiada rotan, akar pun berguna.

Ironinya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak pula malu atau aib ibarat menjilat ludahnya sendiri apabila beliau juga adalah orang yang pernah ‘menyekat’ perjalanan arus politik Anwar pada 1998 lalu.

Meskipun PPBM ada figura politik berpengalaman seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mahathir dilihat gagal guna pengaruhnya untuk meyakinkan parti lain dalam PH untuk menerima Presiden PPBM itu sebagai ketua mereka.

“Dalam kes Anwar, kita boleh tuntut beliau tidak dilayan dengan adil. Keputusan mahkamah pada 1998 jelas dipengaruhi kerajaan dan saya fikir kerajaan baharu dapat meyakinkan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar. Dengan itu, beliau dapat kembali aktif berpolitik dan menjadi perdana menteri. Saya tidak dapat tolak,” dalih Mahathir dalam temu bual dengan akhbar The Guardian.

Wawancara eksklusif itu dilakukan semasa beliau berada ibu kota Britain itu baru-baru ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di sebalik partinya sendiri berdepan dengan pelbagai masalah kritikal malah lesu diterima rakyat.

Pengakuan jujur mantan perdana menteri keempat itu menyatakan sokongan kepada Ketua Umum PKR untuk diangkat menjadi perdana menteri baharu hanya jika mendapat pengampunan diraja bagaimanapun agak lucu!

Siapa boleh lupa ayat penghinaan terhadap Anwar oleh Mahathir sendiri diucapkannya kepada semua wartawan tempatan dan antarabangsa: “Lelaki ini tidak harus dibenarkan jadi pemimpin di sebuah negara seperti Malaysia.”

Jangan lupa, ketika itu juga negara dikejutkan dengan pendedahan eksklusif video adegan seks seorang lelaki seiras Anwar dengan pelacur wanita China dan disahkan pihak polis sendiri sebagai 99.9 peratus adalah tulen.

Ia dibuat orang Anwar sendiri, Datuk Sharzly Eskay Abdullah yang mendakwa beliau membawa Anwar ke lokasi aksi seks itu selain kegagalan Wan Azizah Wan Ismail pula menunjukkan jam tangan Omega dipakai suaminya.

Mahathir yang sebelum ini memecat Anwar dan menuduh bekas timbalannya itu sebagai tidak bermoral, korup dan salah guna kuasa, akhirnya terdesak bersedia menyokong Anwar untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beberapa bulan lalu, ketika Konvensyen Tahunan PKR, Mahathir masih segan silu untuk menyokong Anwar sebagai bakal ketua pembangkang dalam percaturan agenda politik peribadi beliau menjatuhkan perdana menteri sekarang.

Apapun tindakan Mahathir, beliau yang kini sudah berusia 92 tahun itu dilihat seperti cuba membina kelambu lain, walhal kelambunya sendiri pun kian rosak teruk dan koyak berlubang.


0 comments:

share2