Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 7, 2017

[KUANTAN] GUNA WHATSAPP UNTUK TADARUS


Guna WhatsApp untuk tadarus


Banyak manfaat diperoleh oleh masyarakat daripada penggunaan teknologi terkini seperti media sosial.

Hal ini dibuktikan dengan kewujudan Pertubuhan Sahabat al-Quran di Hati Pahang yang ditubuhkan menerusi group aplikasi WhatsApp bagi memudahkan masyarakat bertadarus dengan target satu juzuk setiap seorang.

Kini terdapat 500 ahli dari group yang berasal dari beberapa negeri termasuklah Kelantan, Terengganu, Perak, Johor Bahru dan Melaka.

Ketua Admin pertubuhan itu, Norhayati Osman berkata, acara berkhatam pula diadakan setiap tahun dan menghimpunkan semua ahli group itu dari negeri-negeri lain.

“Group ini diwujudkan sahabat saya di Pulau Pinang, lepas tu dikembangkan di beberapa negeri lain dan wakil-wakil bersama ahli group akan berkumpul setahun sekali bagi acara berkhatam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Majlis Tadarus al-Quran di Masjid Afzan Indera Mahkota di sini.

Majlis penutupan itu dirasmikan Exco Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Norhayati berkata, bagi membolehkan 30 juzuk al-Quran dikhatamkan, satu kumpulan WhatsApp ditubuhkan yang mana setiap ahli akan membaca satu juzuk setiap seorang secara bersendirian dalam tempoh yang ditetapkan admin.

Jelasnya, apabila ahli telah berjaya mengkhatamkan juzuk masing-masing ia perlu dilaporkan secara WhatsApp kepada admin bagi membolehkan tanda khatam dibuat.

“Pihak admin akan susun juzuk yang akan dibaca pada permulaan pusingan dan seterusnya. Apabila 30 ahli dalam satu group khatam maka kita dah khatam satu al-Quran.

“Justeru, apabila cukup 30 pusingan sekali gus dapat mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Norhayati berkata, matlamat group ini diwujudkan supaya masyarakat terus istiqamah membaca al-Quran.

"Ahli tidak dibenarkan sembang santai atau berkongsi sebarang kenyataan, rencana, gambar atau apa sahaja yang tidak berkaitan tujuan asalnya," katanya.


0 comments:

share2