Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 17, 2017

KUALA SEPETANG AKAN DIWARTAKAN KAWASAN RABIES


Rabies


Ipoh - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak akan mendapatkan pewartaan daripada kerajaan negeri bagi mewartakan Kuala Sepetang, Taiping sebagai kawasan wabak anjing gila atau rabies dengan kadar segera.

Pengarahnya, Dr Fuziah Muhayat berkata, langkah itu berikutan pengesahan positif virus rabies yang diperolehi melalui ujian FAT (fluorescent-antibody test) dan PCR (plymerase chain reaction) terhadap sampel anjing yang dilaporkan, semalam.

Menurutnya, pewartaan itu akan dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir esok dan dijangka ditandatangani pada hari sama.

"Kita telah maklumkan wabak ini kepada pihak berkuasa negeri dan akan mendapatkan pewartaan dengan kadar segera bagi mewartakan kawasan itu sebagai kawasan wabak rabies," katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada 13 Julai lalu, jabatan itu menerima aduan daripada seorang penduduk beralamat di Kuala Sepetang memaklumkan anjing peliharaannya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.

Katanya, susulan aduan itu, jabatan melakukan pengambilan sampel karkas anjing itu untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh.

"Keputusan ujian adalah positif, kawalan penyakit rabies kini dilaksanakan serta merta bermula hari ini antaranya membuat persampelan anjing terbiar di kawasan itu bagi mengenal pasti tahap penyebaran penyakit.

"Jabatan juga dalam perancangan pemvaksinan anjing bertuan dalam lingkungan 1 kilometer radius," katanya.


0 comments:

share2