Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 4, 2017

KESAN TAKTIK BAHARU PATI YANG DISENARAIHITAMKAN


Datuk Mustafar Ali


Shah Alam – Jabatan Imigresen Malaysia mengesan taktik baharu iaitu cubaan untuk mendaftar E-kad bagi menyelusup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang telah disenaraihitamkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Mustafar Ali berkata, Pati ini telah menyusup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan cuba menyertai program pendaftaran E-kad dalam usaha mendapatkan pas kerja yang sah.

“Imigresen dapat mengesan apabila cap jari mereka diambil untuk semakan dan rekod telah mengesan identiti mereka yang sebenar dengan status mereka telah disenaraihitamkan.

“Cubaan untuk mendaftarkan Pati yang tidak layak ini telah berjaya digagalkan dan sebanyak 38 kes dikesan dengan 40Pati dan dua majikan telah ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Imigresen telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka dari golongan Pati namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh sesetengah majikan.

“Oleh itu mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini.

“Selain itu, Imigresen juga menyeru dan mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Pati atau sebarang maklumat yang boleh membantu kita dalam melaksanakan penguatkuasaan dipohon supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh pendaftaran Program E-kad telah tamat pada tengah malam 30 Jun 2017.

Bermula pada 1 Julai 2017 Imigresen telah melancarkan Operasi Penguatkuasaan besar-besaran bagi memburu majikan dan Pati yang ingkar untuk mematuhi undang-undang dan peraturan negara ini.

“Operasi penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dan majikan serta Pati yang ditangkap dalam operasi akan dikenakan tindakan yang tegas.

“Majikan yang dikesan menggaji Pati boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mana majikan akan didakwa di bawah empat kesalahan utama iaitu di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk Pati secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji PATI, Seksyen 55E untuk membenarkan Pati masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi Pati,” katanya.

Beliau berkata, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010)(ATIP SOM).

“Sepanjang tempoh bermula 1 Julai 2017 sehingga jam 8 pagi 3 Julai 2017 Imigresen telah mengadakan sebanyak 181 Operasi Penguatkuasaan di seluruh Negara.

“Seramai 5,278 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 1,509 Pati dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Sebanyak 28 majikan turut ditahan dan 86 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.

Daripada jumlah keseluruhan Pati yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Bangladesh seramai 752, diikuti oleh warga Indonesia seramai 195, Myanmar seramai 117, Filipina seramai 50, Thailand seramai 45 dan bakinya adalah dari negara-negara lain. Seramai 1,3141 merupakan Patilelaki, 192 Perempuan dan 3 orang kanak-kanak.


0 comments:

share2