Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 7, 2017

[JENGKA] FELDA WILAYAH RAI 201 BAKAL HAJI


Felda Wilayah rai 201 bakal haji


Majlis Sambutan Aidilfitri Felda Wilayah Jengka di sini semalam meraikan 201 bakal haji kalangan peneroka dan petugas Felda Wilayah Jengka yang dijadualkan berpangkat ke tanah suci pada hujung bulan ini.

Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Shahruddin Ab Rahman berkata, barisan jemaah diberikan Kit Haji berupa beg galas dan tuala untuk kemudahan di sana serta diraikan dalam jamuan.

Majlis jamuan raya peringkat Wilayah Jengka ini dihadiri wakil rasmi Pengarah Besar Felda, Haniff Norilah; Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Ismail Abd Muttalib; Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin; Adun Jengka, Dato' Wan Salman Wan Ismail; Adun Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Adun Pulau Tawar, Dato' Dr Ahmaf Shukri Ismail.

"Pada setiap tahun Felda Wilayah Jengka mengadakan sambutan Aidilfitri dengan menggabungkan 37 rancangan dan agensi-agensi kerajaan sebagai penghargaan kerana membantu dalam pembangunan Felda.

"Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Adun Tahan, Dato' Wan Amizan Wan Abdul Razak yang memperuntukkan RM10,000 untuk jamuan makan dan kit haji bakal jemaah ini," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di pekarangan Pejabat Felda Wilayah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Usahawan Felda, Datuk Amir Hamdan; Pengarah Pembangunan Komuniti, Erwan Aman; Penolong Pengarah Pembangunan Tanam Semula, Helmi Fakhzan; COO Felda Technoplant Sdn Bhd, Abdul Kadir Saad; Pengurus Besar Wilayah Jengka, Abdul Malik Abdul Rani dan Pengurus Besar FTP, Mohd Zulkifli Abdul Ghani.

Menariknya sambutan tahun ini adalah sebanyak 13 gerai yang terdiri daripada empat zon dikendalikan oleh NGO Felda. Antaranya, Majlis Belia Felda Jengka, Kami Anak Felda (Kaf), Kesatuan Pekerja dan Persatuan Pegawai Kanan, Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Wilayah Jengka, Felda Investment Corporation serta pihak Perbadanan Stadium Tun Razak.

Kehadiran pada sambutan tahun ini dianggarkan lebih 1,500 orang terdiri daripada kepimpinan peneroka Felda Wilayah dan agensi-agensi kerajaan, perbankan dan syarikat-syarikat berkaitan Felda.

Shahruddin selanjutnya berkata, pelbagai menu tradisi hari raya seperti lemang, rendang, kambing golek dan nasi hujan panas dimasak sendiri oleh petugas-petugas Felda Wilayah Jengka.

"Kita juga menampilkan kelainan pada tahun ini di mana setiap Adun diberikan peluang berucap dan menyampaikan salam Aidilfitri kepada hadirin yang datang sambil menjamu juadah disediakan," katanya.


0 comments:

share2