Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 7, 2017

DITIPU SYARIKAT PAJAKAN, 1,500 KENDERAAN LESAP


Kes Jenayah


Kuala Lumpur - Kira-kira 500 pemilik kenderaan yang melibatkan 1,500 kereta berdepan muflis daripada pihak bank ekoran gagal menjelaskan ansuran bulanan setelah diperdaya sebuah syarikat pajakan.

Seorang mangsa, Ali Mohd berkata, keputusan memajak kenderaan itu dibuat bagi tujuan menambah pendapatan akhirnya bertukar mimpi ngeri apabila ditipu.

Dakwa Ali, syarikat itu pada awalnya didalangi individu Melayu tetapi kini bertukar tangan kepada seorang yang menggelar dirinya Datuk Seri dan berbangsa India. 

"Setelah syarikat itu beralih kepada Datuk Seri, kereta kami tiada penyewa, hasil bulanan yang perlu dapat tidak diberi, malah jika ingin kereta semula, diugut dan perlu bayar pampasan," katanya dalam satu sidang media yang dikendalikan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Katanya, lebih mencurigakan meskipun mempunyai beberapa tunggakan, pihak bank tidak menarik kenderaan tersebut, sebaliknya meminta pemilik (kami), untuk berbuat demikian.

"Pembiayaan di bank kami kena tanggung, tapi bila kami minta pulangkan kereta mereka tidak bagi, malah ketika saya cuba berunding, mereka sudah mula menggunakan kekerasan," katanya.

Selain Ali, terdapat beberapa mangsa lain juga berkongsi kisah mereka. Antaranya Amir Abdullah.

Amir memajak tiga kereta miliknya dan semunya model Proton.

Kata Amir, ia seolah-olah sindiket kerana ketika urusan jual beli kereta, juru jual pernah menabur janji manis kepadanya.

"Bayangkan pada masa itu, juru jual boleh bantu saya untuk dapatkan kelulusan pembiayaan bank sehingga lima buah kereta, namun saya hanya terima tiga sahaja, dan tempoh bayaran balik adalah sembilan tahun," katanya.

Katanya, syarikat itu dikesan beroperasi secara meluas melalui 80 cawangan sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, Nadzim berkata, kes penipuan yang melibatkan pajakan kereta bukan benda baharu dan lebih malang, pemilik kebanyakannya berdepan muflis.

"Mereka yang meminjam kereta untuk disewa kepada orang kebiasaan akhirnya akan bankrup, paling tidak ,disenarai hitam, tetapi bankrup itu antara destinasi yang jelas," katanya.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi pula berkata, satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan lebih 100 laporan telah dikemukakan mangsa.

"Kami akan menuntut kereta milik mangsa walaupun syarikat itu mengatakan ada perjanjian antara mereka dengan pemilik kenderaan.

"Pemilik kenderaan ada hak untuk ambil kereta mereka, sekiranya tidak dipulangkan, saya minta pihak bank lebih bertanggungjawab dalam hal ini," katanya.

Syarikat itu turut berdiam diri apabila dihubungi mangsa dan langsung tidak menjawab surat pembatalan perjanjian yang dihantar, malah, mangsa telah disenarai hitam oleh bank dan menerima saman.


0 comments:

share2