Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 11, 2017

TREND BAHARU CURI MOTOSIKAL


Trend baharu curi motosikal


Kuala Terengganu- Polis meminta orang ramai lebih berwaspada dengan trend baharu penjenayah yang menyasarkan motosikal di kawasan rumah, termasuk di kawasan berpagar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kes kecurian motosikal di daerah ini meningkat, dengan kebanyakan kes berlaku dalam kawasan pagar rumah.

Berbanding sebelum ini, kes kecurian motosikal banyak berlaku di pusat membeli belah, kawasan pejabat dan tempat awam.

“Kita tidak nafikan kes curi motosikal ini meningkat, ia mungkin hasil daripada rondaan yang kerap dilakukan, menyebabkan mereka mengubah taktik dengan menyasarkan rumah persendirian.

“Jika di rumah, agak sukar untuk kita buat pemantauan. Jadi, kita nasihatkan orang ramai agar sentiasa mengunci kenderaan dan pastikannya berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini.

Beliau turut ingatkan agar orang ramai mengelak daripada menyangkut kunci kenderaan berhampiran tingkap dan tempat yang mudah dicapai.

Katanya, purata setiap hari pihaknya mendapat laporan dua ke tiga kes curi motosikal berlaku, yang kebanyakannya di bawah kendalian Balai Polis Kuala Terengganu, Chabang Tiga dan Gong Badak.

“Boleh dikatakan, kesedaran di kalangan masyarakat tentang keselamatan ini masih rendah. Kita harapkan mereka lebih berwaspada.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk pastikan kawasan parkir terutamanya parkir motosikal disediakan bar untuk dikunci, sebagai langkah keselamatan yang boleh diambil,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, IPD Kuala Terengganu melaksanakan kempen ‘Rumah Selamat’ sempena musim perayaan dan menasihatkan agar orang ramai yang ingin meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama, untuk melaporkannya di balai polis berhampiran.


0 comments:

share2