Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 3, 2017

[TEMERLOH] RM500 KOS HARIAN BERBUKA PUASA


RM500 kos harian berbuka puasa


Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah menerima lebih banyak sumbangan pada bulan Ramadan berbanding bulan biasa terutama daripada orang ramai dan badan korporat.

Penyelianya, Mohd Noor Maree berkata, sumbangan diterima berbentuk wang tunai yang sudah ditetapkan jumlahnya selain keperluan harian .

“Di Darul Izzah kos berbuka puasa untuk 35 anak yatim ditetapkan RM500 dan mereka yang ingin menyumbang, boleh beri jumlah itu untuk satu hari.

“Ada dua kaedah sumbangan berbuka puasa iaitu menerusi bayaran RM500 untuk sekali berbuka atau membawa anak yatim ini berbuka puasa di rumah atau hotel-hotel seperti dilakukan individu atau syarikat korporat,” katanya.

Mohd Noor berkata, anak-anak yatim di Darul Izzah hanya mempunyai masa terhad tahun ini untuk diraikan memandangkan kesemua mereka pulang ke rumah keluarga masing-masing sepanjang dua minggu cuti sekolah.

“Masa yang ada untuk anak yatim ini diraikan juga terhad memandangkan ada yang sudah mengesahkan untuk meraikan anak yatim ini dalam tempoh dua minggu terakhir bermula pada Nuzul Quran nanti,” katanya.

Menurutnya, operasi Darul Izzah pada setiap bulan membabitkan kira-kira RM15,000 merangkumi kos makanan, pengangkutan, pendidikan dan pentadbiran itu dibayar menggunakan dana daripada sumbangan orang ramai.

“Memang kita gunakan dana daripada sumbangan ramai, ini bermakna sumbangan orang ramai kepada Darul Izzah ini bukan diterima pada Ramadan saja. Sumbangan yang banyak diterima daripada orang ramai ketika Ramadan adalah untuk menampung kos berbuka puasa anak-anak yatim di sini.

“Memang kita akui ada peningkatan sumbangan tapi tidaklah ketara sangat, ada yang menyumbang terus kepada anak yatim menerusi jemputan ke mana-mana lokasi dan juga sumbangan terus kepada pertubuhan ini,” katanya.


0 comments:

share2