Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 6, 2017

[TEMERLOH] LOMBONG HARAM PUNCA BANJIR?


Lombong haram punca banjir?


Kegiatan perlombongan emas yang ditolak permohonannya oleh kerajaan negeri sebelum ini rupa-rupanya dijalankan secara haram berikutan penemuan sebuah kawasan perlombongan yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Lakum, di sini.

Penemuan mengejutkan itu, diperoleh hasil tinjauan eksklusif dibuat Sinar Harian ke kawasan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

Penemuan kegiatan lombong haram itu membangkitkan persoalan apakah kegiatan perlombongan haram itu menjadi punca kejadian banjir pelik yang melanda Kuala Gandah pada 10 Mei lalu.

Tinjauan Sinar Harian yang menyamar sebagai pemancing menggunakan laluan off road sejauh lapan kilometer menemui satu kawasan hutan yang diteroka secara haram berhampiran Sungai Teris, Lanchang di sini.


Banjir kilat luar biasa yang berlaku di Kuala Gandah pada 10 Mei lalu menyebabkan kerosakan teruk pada struktur Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.


Kawasan yang diteroka secara haram itu berkeluasan kira-kira 1.6 hektar dengan terdapat lima kolam takungan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong.

Sebuah syarikat swasta pernah memohon permit untuk melombong emas di kawasan tersebut pada 2009 tetapi menerima bantahan penduduk kampung dan belia serta pemandu pelancong yang berkhidmat di Kuala Gandah.

Dalam tinjauan yang dibuat minggu lalu, Sinar Harian menemui beberapa peralatan melombong seperti pam air dan jentera ringan berkaitan kerja melombong di kawasan yang sama serta terdapat beberapa kawasan istirehat pekerja.

Laluan yang digunakan untuk memasuki kawasan itu melalui kawasan PKGK, Kuala Gandah menerusi Off Road sejauh tujuh kilometer dan akan sampai ke satu kawasan berhampiran rumah Orang Asli.


Kesan tanah dan persekitaran menunjukkan lombong emas haram ini sudah beroperasi lebih dari setahun.


Daripada kawasan rumah Orang Asli itu, perjalanan melintasi Sungai Teris dan kedudukan lombong itu berhampiran pertemuan antara Sungai Teris dan Sungau Sentau.

Semasa pemerhatian dilakukan terdapat sekumpulan individu dipercayai tonto yang mengawal sebarang aktiviti pergerakan di kawasan tersebut.

Terdapat sekurang-kurangnya enam pekerja di dalam kawasan perlombongan itu dijalankan dan kesan tanah dan persekitaran menunjukkan ia sudah beroperasi lebih dari setahun.

Pada 12 Mei lalu, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Jabatan Alam Sekitar melakukan siasatan terhadap kejadian banjir pelik yang berlaku di Kuala Gandah kerana kawasan tersebut tidak pernah banjir.


0 comments:

share2