Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 6, 2017

HANG TUAH MUNCUL DI PERAK


Hang Tuah muncul di Perak


“Saya bangga menjadi Hang Tuah di Perak. Bukan saya sahaja yang terkena tempias nama ini, malah orang terdekat termasuk isteri, anak-anak dan mertua juga lebih dikenali gara-gara nama ini,” kata pemilik nama Datuk Hang Tuah Din @ Mohamed Din.

Walaupun nama itu sinonim dengan masyarakat Melayu tetapi kadang-kala ada yang terkejut bila diperkenalkan dengan nama itu.

Tidak diberikan pencerahan jelas mengapa diberikan nama itu, Hang Tuah hanya diberitahu, bapanya telah mendapat namanya melalui mimpi.

Menjalani kehidupan sebagai Hang Tuah di zaman kecilnya, ia tiada banyak beza dengan kanak-kanak lain, malah namanya itu sering diingati oleh sesiapa sahaja.

“Sebenarnya nama seperti itu ada pro dan kontranya. Saya akan mudah dikenali. Jika buat baik orang kenal, kalau nakal pun orang kenal.

“Nama ini selalunya memberi kelebihan terutama ketika saya berada di mana-mana kaunter pejabat atau agensi untuk menjalankan urusan, pada mulanya mereka terkejut kemudian saya terima layanan istimewa sama seperti saya ada pangkat,” katanya.


Hang Tuah mendengar penjelasan daripada pegawai bertugas ketika turun padang ke kawasan seliaannya.


Nama bawa tuah

Anak bongsu daripada empat beradik ini mengakui nama itu memberi tuah kepadanya dan bersyukur perjalanan hidupnya dan keluarga selama ini berjalan lancar.

Ketika ditanya bagaimana keistimewaan yang diterima, Hang Tuah berkata, dia gembira dapat menamakan anaknya dengan nama pangkal Tun.

“Sebelum saya daftar, ada seorang bapa ingin nama anaknya Sheikh tetapi tidak diterima pegawai berkenaan memandangkan nama itu perlu daripada keturunannya.

“Bila tiba giliran saya, pegawai tersebut turut menyamakan saya dengan individu itu tetapi selepas melihat nama Hang Tuah, dia membenarkan nama Tun diletakkan pada nama anak saya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengakui pemberian nama itu amat membimbangkan ibunya walaupun bersetuju dengan cadangan itu pada mulanya.

Katanya, orang Melayu dahulu sangat takut jika anaknya itu tidak mampu membawa nama besar dan mungkin akan menimbulkan masalah di kemudian hari atau ketika waktu membesarnya.

“Oleh kerana bimbang dengan nama itu, sejak saya lahir ibu dan adik beradik lain panggil saya sebagai Nizam tetapi Alhamdulillah, saya mampu bawa nama Hang Tuah pada masa sama membesar dengan baik,” katanya.

Minat subjek sejarah

Tidak tahu ianya suratan atau kebetulan, Hang Tuah sangat meminati sejarah malah menganggap subjek itu sangat dekat dengan dirinya.

“Saya boleh gambarkan sejarah ini sama seperti filem Hindustan (Bollywood) kerana kita kena faham keseluruhan cerita termasuk watak dan perwatakan, bila mereka bercinta, kenapa putus cinta, bila berlaku dan sebagainya,” katanya.

Hang Tuah berkata, sekiranya jalan ceritanya difahami dengan jelas, apa sahaja soalan yang dikemukakan tentu boleh dijawab dengan baik.

Walaupun begitu, beliau berkata, masih ramai dalam kalangan kita seolah-olah tidak tahu tentang sejarah Hang Tuah.

“Nama itu besar tetapi kadang-kala ianya seakan tidak dipedulikan, pada hal Hang Tuah antara orang penting dalam kerajaan Melaka suatu ketika dahulu.

“Saya sangat teruja ketika berkunjung ke Muzium Beijing apabila sejarah Hang Tuah dipamerkan di sana dan ia memang benar berasal dari Melaka walaupun ada mitos yang mengatakan dia datang dari China,” katanya.

Menurutnya, walaupun sejarah penting sebagai sumber rujukan tetapi kita tidak boleh bernostalgia dengannya kerana perlu ‘ move on’ dengan kehidupan yang kita lalui hari ini.

Di akhir pertemuan dengan individu yang mempunyai nama unik ini, Hang Tuah sempat berpesan supaya semua orang perlu menanamkan cita-cita untuk menjadi pencipta sejarah tidak kira apa sejarah sekali pun.


0 comments:

share2