Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 3, 2017

SAYA SAMA SEKALI TIDAK AKAN JUAL KEDAULATAN MALAYSIA!




Kuala Lumpur – Hasil sebenar dan transformatif daripada hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China tidak berkompromi walau sedikitpun dengan kedaulatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya sama sekali tidak akan jual kedaulatan Malaysia,” tegasnya sebelum majlis pelancaran pembukaan China Construction Bank (Malaysia) Bhd, di sini, semalam.

Najib berkata, hubungan itu, yang bukan sama sekali seperti apa yang didakwa oleh pihak pembangkang negara ini, bersama dengan penerokaan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, adalah demi kepentingan semua, bagi rakyat dan rakan kongsi dari luar negara.

“Selama ini Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka dan mesra dengan semua negara. Hakikat bahawa kita menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan langsung asing adalah bukti keyakinan negara-negara lain terhadap kita, sama ada negara Jepun atau China, India, Arab Saudi atau malahan negara-negara Barat.

“Untuk menolak pelaburan ini (FDI) disebabkan oleh pemahaman sempit dan kurang bijak, dan salah faham tentang ekonomi, ia hanya akan memberi kesan buruk kepada negara ini,” katanya.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak lapan tahun lalu dan Presidennya Xi Jinping baru-baru ini berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara berada di tahap yang terbaik.

Antara kerjasama utama China dan Malaysia termasuklah Zon Perdagangan Bebas Digital pertama dunia, eksport nanas Malaysia ke China dan taman komersial mewah, The Shore, di Sabah.

“Sesetengah pihak nampaknya merasakan lebih baik memiliki syarikat yang mengalami kerugian yang 100 peratus milik Malaysia daripada memiliki peratusan lebih kecil dalam syarikat yang berpeluang untuk menembusi ke pasaran lebih besar, ekonomi yang menguntungkan dan teknologi canggih.

“Saya ingin bertanya, yang mana satu akan mewujudkan lebih banyak kekayaan dan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia? Jawapannya adalah jelas sekali,” kata Najib.

Dalam menjawab kritikan yang mengatakan pelaburan dari China “terlalu banyak, terlalu pantas, terlalu awal”, beliau berkata, “Jika anda mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika anda mahu Malaysia ketinggalan, dan jika anda tidak mahu peluang pekerjaan diwujudkan atau tahap pendapatan meningkat, silalah pergi berkempen di atas platform itu.

“Saya tidak akan sesekali memohon maaf kerana memudahkan pelaburan di Malaysia.”


0 comments:

share2