Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 2, 2017

PELAJAR KOLEJ DAN RAKAN MENYAMAR TENTERA DITAHAN



KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej swasta dan rakannya ditahan kerana menyamar sebagai anggota tentera dan cuba menceroboh di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun menaiki kereta jenis Proton Saga menggunakan alasan memasuki kem kerana mahu bertemu kenalan mereka yang didakwa anggota tentera.

Difahamkan, suspek menggunakan identiti sebagai anggota Rejimen Perisikan Khas Tempur.




Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan identiti ketika pemeriksaan di Pos Pengawal Tentera 1.

“Pengawal melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek dan menemui pakaian seragam pegawai tentera.

“Siasatan mendapati suspek pertama adalah pelajar kolej swasta manakala suspek kedua tidak bekerja.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif sebenar kedua-dua suspek menceroboh kem terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 kanun Keseksaan dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955.


0 comments:

share2