Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 21, 2017

[PEKAN] ABDUL RAZAK TABAH TANPA ISTERI


Abdul Razak tabah tanpa isteri




Ramadan sudah hampir ke penghujung namun bagi warga emas, Abdul Razak Awang, 84, dia terus mengharunginya bersendirian selepas pemergian isteri, Hasnah Sulaiman, 78, akibat sakit tua.

Dia terus tabah walaupun ada kalanya terpaksa melalui keadaan sukar untuk menguruskan kehidupannya dan seorang anak perempuan kurang upaya, Zunaidah, 48.

Abdul Razak berkata, Syawal yang semakin hampir turut meresahkannya apabila kesihatan semakin kurang mengizinkan.

“Dulu isteri ada nak jaga makan minum saya dan anak yang sakit. Sekarang ni memang tak ada siapa nak uruskan kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Beruas, di sini.

Katanya, fokusnya kini bukan menjaga diri yang sudah uzur tetapi untuk tidak mengabaikan anak perempuannya.

“Saya jaga amanah isteri, sama sekali tak akan abaikannya. Dia anak bongsu dari lapan beradik, jadi nak jaga dia saya perlukan bantuan anak-anak lain juga.

“Saya dah tak mampu kerja dan bergantung penuh kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain harap ihsan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, keperitan Abdul Razak turut menarik perhatian Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) yang tampil menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai untuk menyambut hari raya nanti.

Menurut Presiden PAKP, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant, pihaknya memberi perhatian kepada keluarga terutama melibatkan warga emas dan anak yatim.

“Semua pihak terutama NGO perlu tampil hulur bantuan kepada yang kurang berkemampuan untuk menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.


0 comments:

share2