Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 10, 2017

MALAYSIA PERLU SEDIA HADAPI CABARAN GEOPOLITIK


Malaysia perlu sedia hadapi cabaran geopolitik


Kuala Lumpur - Malaysia memantau secara rapi perkembangan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia bagi membolehkan sebarang langkah dan keputusan yang diambil menepati kepentingan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merujuk krisis di Negara-Negara Teluk, ancaman ujian peluru berpandu balistik Korea Utara dan keputusan pilihan raya United Kingdom hari ini, yang membawa kepada Parlimen Britain tergantung, sebagai antara ketidaktentuan geopolitik yang menarik perhatian dunia.

"Selain ancaman ekstremisme ganas yang merupakan cabaran besar kepada kita...kita juga menyedari bahawa ada satu risiko baharu lebih serius terpaksa kita tangani iaitu risiko geopolitik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini semalam.

Awal minggu ini, dunia dikejutkan dengan keputusan Arab Saudi serta beberapa negara termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Maldives dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar berikutan dakwaan negara berkenaan membiayai kumpulan militan Daesh.

Menyentuh perkembangan ekonomi, Najib berkata ketika ini ekonomi dunia berkembang lebih positif dan Malaysia juga mencatat pencapaian ekonomi yang amat memberangsangkan pada suku pertama tahun ini, iaitu sebanyak 5.6 peratus, berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil kerusi Dun Pujut, perdana menteri berkata beliau akan bertemu Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat untuk menentukan calon terbaik bagi BN.

Dalam pada itu, Najib secara ringkas turut menarik perhatian bahawa persiapan bagi Pilihan Raya Umum, sehingga kini berjalan dengan baik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pendaftaran keanggotaan UMNO kini semakin meningkat.

"Ia satu perkara menarik kebelakangan ini apabila ramai individu yang mendaftar sebagai ahli Umno secara sukarela di pejabat Umno lebih kurang 300 orang setiap hari. Ini satu perkembangan yang tidak kita lihat sebelum ini," katanya.

Terdahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada 17 pemenang cabutan bertuah semasa sambutan ulang tahun Umno Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Mei lepas.

Anggota UMNO Kuala Terengganu, Saifuldhari Abu Bakar membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah sebuah Proton Perdana 2.4L.


0 comments:

share2