Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 20, 2017

[LIPIS] JALAN LAMA DITUTUP ELAK SESAK


Jalan lama ditutup elak sesak


Jalan lama Sungai Yu, Merapoh di sini akan ditutup untuk semua kenderaan bermula petang Khamis, 22 hingga 25 Jun.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, hanya jalan baharu Central Spine Road (CSR) dibuka bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lokasi berkenaan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, tindakan menutup laluan berkenaan dari persimpangan Sungai Yu hingga ke Kampung Kubang Rusa itu dilakukan kerana peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya menghala ke Kelantan.

“Pertambahan kenderaan menghala ke Pantai Timur khususnya Kelantan akan berlaku pada waktu puncak iaitu pada 23 Jun (Jumaat) dan 24 Jun (Sabtu).

“Justeru itu, kita berharap agar pengguna jalan raya dapat merancang perjalanan dengan baik dan berhemah ketika memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Op Selamat Peringkat Daerah Lipis dan pengedaran 100 bungkusan cenderahati kepada pemandu kenderaan di persimpangan Tempoyang di sini, semalam.

Turut menyertai pelancaran Op Selamat itu ialah pasukan Bomba dan Penyelamat Lipis, Hospital Lipis, Angkatan Pertahanan Awam, Pihak Berkuasa Tempatan, dan Lions Club.

Azry berkata, pasukan polis secara kolaborasi dengan pasukan keselamatan lain berusaha meningkatkan kempen keselamatan jalan raya menerusi Op Selamat antara alternatif bagi mengurangkan kemalangan.

Tambahnya, pihak berkuasa akan memberikan tumpuan dengan membuat rondaan di beberapa laluan utama bagi mencegah kemalangan jalan raya khususnya di lokasi yang menjadi `hot spot’ iaitu laluan Lipis-Merapoh.

“Kita akan memberi tumpuan pada semua jenis kenderaan termasuk motosikal, kereta, bas dan lori di mana pihak berkuasa melaksanakan rondaan secara bergilir-gilir di kawasan ‘hot spot’ yang kerap berlaku kemalangan maut.

“Pemandu juga harus berhemah dan tidak cuai dengan keselamatan di jalan raya termasuk menitikberatkan aspek spesifikasi kenderaan bagi mengelakkan kemalangan maut terjadi,” katanya.


0 comments:

share2