Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 20, 2017

[KUANTAN] DUGAAN BERAT IBU TUNGGAL


Dugaan berat ibu tunggal


Pada mulanya penglihatannya kabur akibat penyakit kencing manis, namun sejak kebelakangan ini dia mengalami masalah paru-paru sehingga menyebabkannya sering semput.

Demikian keadaan terpaksa dihadapi ibu tunggal, Fazliyati Yusof, 45, dari Taman Impian, Jalan Sungai Lembing di sini sehingga menyebabkannya sukar untuk melakukan kerja berat.

Katanya, dia menghidap penyakit kencing manis sejak 16 tahun lalu dan keadaannya bertambah buruk sehingga menjejaskan penglihatannya tiga tahun lalu.

“Saya baru buat rawatan laser di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) beberapa minggu lepas, tapi mata saya masih kabur.

“Saya patutnya dapat rawatan susulan di hospital sebab doktor kata mungkin buah pinggang saya rosak, tapi saya terpaksa tangguh,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Program Ziarah Kasih Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis) Kuantan, kelmarin.

Hadir menyampaikan sumbangan, Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Sharuddin Mohd Simin.

Pada program itu, Fazliyati menerima bantuan RM5,000 dan barang keperluan harian.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, masalah paru-paru yang dialami menyebabkan dia mudah semput jika terlalu banyak bergerak, jadi dia hanya mampu duduk dan berbaring sahaja.

“Sambutan Ramadan kali ini tak meriah macam dulu sebab penglihatan saya dah kabur dan banyak kerja tak dapat buat. Mujur anak-anak banyak bantu.

“Buat masa ini saya hanya bergantung kepada bantuan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sebanyak RM400 sebulan dan bermula bulan ini saya layak terima RM200 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah,” katanya yang turut mempunyai anak OKU.

Sementara itu, Sharuddin berkata, setiap tahun pihaknya menyediakan bantuan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan dan kesempitan hidup bagi meringankan beban yang ditanggung.

Beliau berkata, peruntukan RM10,000 untuk tahun ini diagihkan kepada dua penerima yang mengalami masalah kesihatan di daerah ini manakala bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan biskut disumbangkan Pelitawanis Kuantan.


0 comments:

share2