Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 22, 2017

[KUANTAN] MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG


Maut dihempap pokok tumbang


Seorang lelaki maut manakala dua lagi terselamat selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di kawasan Pelabuhan Kuantan di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pokok terbabit tumbang dan menghempap sebuah kereta dan kanopi dimana mangsa, Ab Aziz Jusoh, 54 dari Taman Balok Makmur di sini sedang berteduh ketika hujan lebat.

Mangsa dipercayai gagal melarikan diri menyebabkan dia bersama motosikalnya dihempap kanopi yang roboh di bawah pokok yang tumbang berkenaan.

Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba Gebeng, Syed Jamaluddin Syed Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.22 petang sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

Menurutnya, anggotanya tiba kira-kira 15 minit kemudian mendapati pokok tumbang menghempap sebuah kereta jenis Perodua Viva dan sebuah kanopi.

“Pemeriksaan di kawasan pokok tumbang itu mendapat mangsa terperosok di bawah kanopi yang runtuh.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak hospital bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala dua lagi dipercayai pemandu dan penumpang kereta berjaya keluar dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, mangsa dipercayai sedang berteduh ketika hujan lebat sebelum pokok berhampiran tumbang dan menghempap kanopi berkenaan.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala operasi ditamatkan jam 7.43 petang,” katanya.


0 comments:

share2