Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 11, 2017

[KUANTAN] DAHULUKAN KEPERLUAN ANAK-ANAK


Dahulukan keperluan anak-anak


“Saya dahulukan keperluan raya untuk anak-anak, saya tak ada baju raya tak apa,”demikian luah ibu tunggal anak empat, Nor Azliza Ismail, 33, ketika ditemui pada program Membeli Pakaian Raya anjuran Puteri Umno Bahagian Indera Mahkota.

Nor Azliza yang mempunyai empat anak berusia 10, 9, 6 dan setahun enam bulan itu antara 29 penerima sumbangan keperluan hari raya pada program itu.

Menurutnya, dia yang bergelar ibu tunggal setahun lalu mengakui berdepan kesulitan dari segi kewangan untuk menyediakan keperluan empat anaknya.

“Tiga daripada mereka bersekolah dan dengan pendapatan saya sebagai tukang cuci, memerlukan saya berjimat cermat.

“Persiapan hari raya juga dibuat sederhana sahaja, yang penting anak-anak gembira,”katanya ketika ditemui pada program itu.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato' Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Ketua Puteri Umno Indera Mahkota, Esfarini Sudin.

Nor Azliza berkata, dia bersyukur kerana keluarganya terpilih dalam program itu dan sedikit sebanyak meringankan bebannya.

Katanya, dengan peruntukkan yang diberi, dia dapat membeli pakaian untuk keempat-empat anaknya untuk dipakai pada hari raya tidak lama lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin dengan keadaan kami sekeluarga,”katanya yang tinggal di rumah ibunya di Taman Impian.

Sementara itu, Esfarini berkata, pada program itu, seramai 29 penerima terdiri daripada ibu tunggal, miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima sumbangan pakaian hari raya.

Beliau berkata, program tahunan itu diadakan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan raya.

“Selain sumbangan pakaian raya, Puteri Umno Indera Mahkota juga mengadakan pelbagai program antaranya Ziarah Kasih dari rumah ke rumah,” katanya.


0 comments:

share2