Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 15, 2017

[JENGKA] PROJEK JALAN BARU RM213 JUTA SUDAH BERMULA


Projek jalan baru RM213 juta sudah bermula


Projek menaiktaraf dan pembesaran jalan Persekutuan dari Tol Chenor ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka bernilai RM213 juta telah bermula 2 Mei lepas.

Adun Jengka, Dato' Wan Salman Wan Ismail berkata, projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT 83 dengan jarak 28 kilometer tersebut dilaksanakan kontraktor terpilih Iswara Bina Sdn Berhad.

Menurutnya, projek tersebut dijadualkan siap pada 1 Disember 2020 iaitu dalam tempoh 43 bulan yang mana bakal merancakkan sektor ekonomi, sosial dan pendidikan di kawasan berkaitan sekali gus memberi manfaat besar kepada warga Felda menikmati rangkaian jalan raya yang lebih cekap dan efisien.

“Kontraktor terbabit telah memulakan proses awal kerja tapak seperti mengukur laluan dan pemetaan lokasi supaya rangkaian jalan raya yang dibina mengikuti spesifikasi yang ditetapkan sekali gus memenuhi cita rasa pengguna.

“Projek menaiktaraf dan pelebaran jalan ini adalah serupa dengan standard R-5 yang sedang rancak dilaksanakan dari Gambang ke Muadzam Shah yang menjanjikan faedah berganda kepada warga Felda Jengka,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih Ramadan kepada pesakit buah pinggang di Unit Hemodialisis Hospital Jengka, kelmarin.

Program bersama Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato' Sri Ismail Mohamed Said turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Jengka, Ahmad Sabrey Idris, Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Krau, Norafzan Abu Kasim dan Pengarah Hospital Jengka, Dr Rohaidah Abdul Raoh.

Beliau menambah, projek pelebaran jalan ini dari standard R-2 jalan dua lorong kepada R-5 dengan kelebaran lorong lebih besar akan memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya terutama pada musim perayaan apabila anak perantau pulang dengan jumlah kenderaan bertambah berkali ganda.

Katanya, jalan raya standard R-5 ini menyediakan spesifikasi pelebaran jalan 3.5 meter dengan kelajuan kenderaan 100 km sejam berbanding laluan R-2 hanya 2.75 meter dengan had laju 60 km sejam.

Jalan tersebut katanya mempunyai lima lorong memotong, sebelas naik taraf simpang jalan, membina jambatan baharu di Sungai Cenderai dan menaiktaraf dua jambatan di Felda Jengka 15 dan jambatan lebuhraya di Felda Jengka 19.

"Terdapat lima lokasi melurus dan melebarkan jalan termasuk untuk kawasan rizab jalan yang memerlukan pengambilan tanah peneroka Felda yang di jalan serentak supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Dua lampu isyarat akan disediakan iaitu di simpang empat yang akan diwujudkan di Felda Jengka 18 dan satu lagi di simpang tiga Jalan Semarak Bandar Tun Abdul Razak Jengka berhampiran Masjid Sultan Ahmad Shah,” katanya.

Wan Salman berkata, selain daripada pengambilan tanah, pihak kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pengalihan utiliti seperti paip air, tiang elektrik, telekom dan lain-lain ke lokasi sesuai sejajar dengan pelebaran jalan tersebut.

Beliau berkata, laluan yang akan dinaiktaraf ini merupakan jalan utama ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang kini memiliki pelbagai kemudahan seperti Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Cawangan Pahang dan Stadium Tun Abdul Razak ( STAR) Jengka.


0 comments:

share2