Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 11, 2017

ANCAMAN KEGANASAN: APAKAH KITA DI TAHAP MERAH?




Dalam tempoh tiga bulan, 32 nyawa terbunuh di United Kingdom dalam tiga siri pengeboman dalam tiga bulan dan terakhir lima hari sebelum pilihan raya umum.

Padahnya, Perdana Menteri Britain, Theresa May, menerima isyarat kurang senang pengundi, apabila sekadar menang tipis dalam pilihan raya kebangsaan semalam.

Wanita ini dilihat masih lagi bergelut mendapatkan formula keselamatan bagi melindungi nyawa penduduk Britain apabila tiga serangan dalam seminggu terjadi di negara itu.

Britain dan Perancis telah melalui sejumlah siri pengalaman serangan pengganas. Eropah kini kelihatan menjadi sasaran terbuka yang mudah ditembusi serangan pengganas.

Di Asia Tenggara, Filipina paling bergelut dengan ancaman militan pro-Daesh. Pertempuran di Marawi yang memasuki minggu ketiga sudah ragut 200 nyawa; dengan 45 daripadanya anggota keselamatan Filipina.

Presiden Rodriguez Duterte mengisytiharkan darurat di Mindanao. Filipina terdedah pada krisis keganasan paling teruk pada era Daesh ini, kerana Negara Khalifah Islam di rantau ini diputuskan berpusat di Mindanao dengan nama Khatibah Nusantara.

Kesemua lingkaran militan di Malaysia, Singapura, Borneo, Indonesia dan Selatan Thailand kini menyatakan kesetiaan menerima kumpulan Abu Sayyaf sebagai pemimpin Daesh di Asia Tenggara.

Abu Sayyaf terkenal sejak dua dekad lalu dengan siri serangan pembunuhan dalam misi penculikan. Malah, menyembelih tawanan apabila gagal mendapatkan wang tebusan.

Di indonesia, gerakan militan Islam yang bertapak lebih sedekad lamanya kini semakin menular apabila sokongan terhadap ideologi Daesh meningkat di negara itu.

Proses merekrut pengganas jadi lebih mudah kerana idea Negara Khalifah gagasan pemimpin Daesh, Abu Bakar al Baghdadi mendapat sokongan meluas.

Indonesia mempunyai sejarah gerakan militia Islam yang panjang, sejak era tahun enam puluhan. Siri pengeboman skala besar di Bali dan Hotel Marriot serta puluhan serangan skala kecil yang lain menjadikan Indonesia hot spot paling terdedah pada bahaya.

Malaysia tidak terkecuali. Berulang kali Ketua Bahagian Counter Teorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay mengingatkan: “Sekiranya satu serangan terjadi, ia cukup menjadi satu bencana besar.”

Sehingga kini, polis sudah menahan lebih 250 suspek yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti keganasan. Angka ini dijangka akan terus bertambah memandangkan ada petunjuk jelas mengenai trend sokongan terhadap Daesh sentiasa berterusan.

Serangan bom di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor tahun lalu satu pertunjuk, bahaya hanya sejengkal di depan mata.

Dalam pelbagai siri ceramahnya, Ayob sentiasa mengingatkan: “Setakat ini polis sentiasa selangkah di hadapan kerana dapat menumpaskan beberapa siri perancangan serangan berskala besar. Bayangkan, kalau dalam jumlah itu, hanya sekali saja polis gagal. Pasti bahayanya cukup besar.”

Justeru, peranan menangani ekstrimis agama serta pengaruh penularan ideologi Daesh bukan isu sensasi. Ia isu real di negara kita.

Ingat, warga Malaysia Mohammad Wanddi Jedi, pada usia 27 tahun dilantik memimpin pengganas Daesh Asia Tenggara di Raqqa, Syria. Mohammad Wanddi dipercayai mengetuai lebih 400 militia Daesh berasal dari Asia Tenggara, termasuk kumpulan pengebom bunuh diri.

Mohammad Wanddi dilaporkan mati bulan lalu dalam satu serangan dron Amerika Syarikat di Raqqa.

Ada sumber menyebut, dari jumlah lebih 400 pengganas Daesh di Raqqa, hampir 100 anggotanya warga Malaysia.

#laskarmalaya


0 comments:

share2