Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 24, 2017

TIGA WIRA TERIMA PENGHARGAAN


Tiga wira terima penghargaan


Nilai - Tiga wira menyelamat mangsa terperangkap dalam sebuah kereta yang dihanyut arus deras dalam kejadian banjir pada 4 Mei lalu di Ulu Bendul, Kuala Pilah, dirai apabila menerima sijil penghargaan.

Mereka dirai pada Majlis Tamat Latihan Pegawai Bomba Bantuan dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai di sini, hari ini.

Penyerahan sijil penghargaan tersebut telah disempurnakan Penolong Ketua Pengarah Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Zulkarnain Mohd Kassim kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Pilah, Jefry Amat dan dua anggota, Mohd Jepliey Ambasing dan Wan Hazizi Abd Halim.

Jefry berkata, sijil penghargaan yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ini memberi satu makna dan nilai berharga bagi dirinya secara peribadi.

"Sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai anggota bomba untuk berusaha sedaya upaya dalam membantu menyelamat mangsa-mangsa yang memerlukan.

"Saya boleh menganggap kejadian banjir pada 4 Mei lalu antara cabaran yang hebat ditempuh oleh pasukan.

"Dan berkat kesungguhan dan kecekalan dari pasukan dan anggota dalam berusaha menggalas tugas membantu mangsa-mangsa banjir telah berjaya menyelamatkan mangsa yang terperangkap. Saya mewakili pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Pilah ingin mengucapkan terima kasih diatas penghargaan ini," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kejadian banjir di Ulu Bendul berlaku pada 4 Mei lalu sehingga menghanyutkan sebuah kereta ketika melalui Jalan Seremban - Kuala Pilah di kampung Sawah Liat Ulu Bendul.

Ketangkasan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Pilah telah berjaya menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di dalam kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki dua wanita iaitu Rosmah Baharin, 37, yang telah dibawa arus deras.


0 comments:

share2