Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 10, 2017

SYARAT KETAT JIKA WARGA ASING MAHU BERNIAGA


Syarat ketat jika warga asing mahu berniaga


Kuala Lumpur - Sejumlah 23 jenis perniagaan yang tidak boleh dikendalikan warga asing di ibu kota disenaraikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara perniagaan yang disenaraikan itu adalah pasaraya, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam, kedai barang kemas, stesen minyak, kedai menjual produk kesihatan, bengkel, perniagaan runcit komputer, perniagaan perabot, pusat siber, kedai gunting, gerai makanan, salun rambut, dan perniagaan dobi.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khalid Zakaria, berkata, DBKL juga telah mengeluarkan polisi baharu pada tahun ini, di mana syarikat warga asing hendaklah berdaftar dengan modal lebih dari RM1 juta sekiranya ingin memohon lesen perniagaan.

“DBKL juga mewajibkan semua majikan premis perniagaan mengambil pekerja tempatan sekurang-sekurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

“Syarikat warga asing juga tidak lagi boleh beroperasi di beberapa kawasan seperti Jalan Silang, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Bukit Bintang, Leboh Ampang, Leboh Pasar, Jalan Chow Kit,Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, dan Jalan Kenanga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zaharuddin Basiron ketika dihubungi berkata langkah ini adalah untuk mengawal kebanjiran para peniaga warga asing tidak terkawal khusunya di sektor peruncitan dan perdagangan di sekitar ibu kota.

“Keadaan ini telah memberi impak yang tidak baik kepada para peniaga warga tempatan serta mencemarkan imej Kuala Lumpur.

“Jadi kita buat inisiatif ini dalam melindungi peniaga warga tempatan di ibu negara. Kita juga akan mempergiatkan tinjauan membanteras peniaga haram di dalam ibu kota khususnya warga asing,” katanya.


0 comments:

share2