Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 12, 2017

SUDAH TUJUH TAHUN CARI ROSWANI


Sudah tujuh tahun cari Roswani


Shah Alam - Sepasang suami isteri sedang mencari ibu kandung atau waris kepada anak angkat mereka yang dibela sejak tujuh tahun lalu.

Seorang juruteknik, Abd Khalil Abd Wahid, 41, berkata, dia dan isterinya, Sarina Azmi sudah lama cuba mengesan ibu kandung kepada Nur Iman Sufi, 7, bagi membantu urusan mendapatkan dokumen untuk persekolahan anak angkat mereka itu.

Menurutnya, ibu kandung Nur Iman adalah warga Indonesia dan hanya dikenali sebagai Roswani.

Katanya, dia dan isteri tidak mengenali Roswani dan tidak pernah bertemu langsung dengan wanita itu sebelum ini.

“Dia (Roswani) serahkan Nur Iman yang baru dilahirkan pada September 2010 melalui saudaranya yang ketika itu merupakan org gaji kepada kakak saya.

“Sejak itu, saya dan isteri pelihara Nur Iman seperti anak kami sendiri sehinggalah kini..tambahan lagi kami dah berkahwin hampir 12 tahun dan belum mempunyai zuriat sendiri,”katanya yang hadir ke Pejabat Sinar Harian.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh tahun dia dan isteri cuba menjejak Roswani di Negeri Sembilan dipercayai lokasi terakhir wanita itu menetap termasuk mencari maklumat di sebuah klinik di mana Nur Iman dilahirkan.

“Bagaimanapun, kami gagal kesan dia...tak tahu lagi di mana nak cari dia.

"Kami bukan nak ganggu kehidupan dia, cuma perlukan bantuan dia untuk hadir supaya segala proses untuk memohon sijil lahir, MyKid dan dokumen berkaitan dapat dilakukan segera demi masa depan Nur Iman," katanya.

Abd Khalil berkata, Nur Iman sudah berusia tujuh tahun dan disebabkan masalah tidak memiliki sijil lahir dan MyKid, dia tak dapat meneruskan persekolahan di sekolah biasa.

"Buat masa ini saya terpaksa hantar dia ke sekolah tahfiz swasta. Pada awalnya pihak sekolah tidak mahu terima tapi setelah kami berterus terang beritahu masalah Nur Iman, mereka dapat bertolak ansur dan meminta perkara itu diselesaikan segera.

"Jika tidak, bimbang keputusan atau maklumat pendidikan Nur Iman tidak diiktiraf di kemudian hari jika tidak memiliki pengesahan dokumen," katanya.

Abd Khalil berkata, dia dan isteri sangat menyayangi Nur Iman dan berharap anak angkat mereka itu dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan ibu kandung Nur Iman (Roswani) dapat menghubunginya di talian, 0189870312.


0 comments:

share2