Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 11, 2017

[ROMPIN] TIDAK PERNAH MALU BERTANYA


Tidak pernah malu bertanya


Rasa seronok melihat peniaga aiskrim di sebuah majlis kenduri saudara di Selangor tahun lalu, menjadi pendorong kepada seorang pemuda yang berasal dari Kampung Sepakat, Kuala Rompin menceburi perniagaan itu.

Berbekalkan sedikit modal, dia nekad mengambil pakej peralatan dan kursus sehari bersama seorang chef aiskrim dengan nilai lebih RM5,000.

Mohamad Ikhsan Arpi, 24, pemilik Aiskrim Rizqi berkata, sudah genap setahun dia menjalankan perniagaan yang bermula Mei tahun lalu dan dia berasakan ia pilihan tepat.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia hanya menyasarkan ahli keluarga dan kenalan sebagai pelanggan, namun tidak sangka sambutan diterima amat memuaskan.

"Saya pastikan setiap minggu ada pelanggan yang tempah untuk majlis. Saya tak malu jumpa mana-mana penduduk Kuala Rompin dan tanya kalau-kalau mereka nak buat kenduri," katanya.

Katanya, usaha itu mendatangkan hasil apabila hampir setiap minggu dia mendapat tempahan untuk membekalkan aiskrim di majlis kenduri sekali gus menjana pendapatan yang lumayan.

“Kalau mereka tak nak, tak apa yang penting saya usaha. Saya syukur tahun ini sahaja hampir setiap minggu ada tempahan, paling jauh yang saya ambil setakat ini majlis di Pekan dan Mersing,” katanya.

Berbekalkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin itu sebelum ini pernah bekerja kilang di Shah Alam namun tidak bertahan lama akibat kos sara hidup yang tinggi.

Dia kemudian memilih pulang ke kampung dan bekerja di sebuah kedai runcit sebelum membuat keputusan untuk menjadi usahawan aiskrim.

Mohamad Ikhsan kini mampu menjana pendapatan kasar RM5,000 manakala pendapatan bersih RM3,000 sebulan.

“Setiap perniagaan mesti ada cabaran, Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah berhadapan cabaran besar. Cuma pernahlah sekali tiang kanopi patah masa berniaga, itu saja,” katanya.

Sudah mendirikan rumah tangga, biar pun sibuk dengan tempahan aiskrim, dia juga tidak mengabaikan rasa cinta kepada negara dengan menyertai askar wataniah Batalion Keempat Kem Force 136 Sungai Miang, Pekan sejak 2015.


0 comments:

share2