Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 11, 2017

[RAUB] LEGA JAMBATAN DIBINA SEMULA


Lega jambatan dibina semula


Kira-kira 28 peneroka Kelau peringkat 7 kini boleh menarik nafas lega apabila laluan yang menghubungkan peneroka ke ladang mereka bakal dibina semula selepas ditenggelami air akibat hujan lebat.

Wakil peneroka, Alias Ismail berkata, jambatan itu merupakan laluan utama peneroka dan penduduk Orang Asli untuk mereka ke ladang dan kini ditenggelami setelah air di Empangan Kelau naik lalu melimpah menutup laluan tersebut.

“Sebelum ni, laluan tak pernah ditenggelami air, tapi sekarang jambatan tu langsung tak boleh guna sampai kami tak dapat nak kutip hasil ladang.

“Saya mewakili penduduk amat berterima kasih kepada pengurusan Felda dan Adun Dong kerana berusaha selesaikan masalah tu. Kami di sini mahu jambatan berkenaan memudahkan kami untuk cari rezeki," katanya.

Dalam pada itu, Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, pihaknya akan berusaha untuk membina jambatan baru itu dalam masa yang terdekat.

Menurutnya, pembinaan jambatan baharu itu akan melibatkan kos kira-kira RM200,000 dan beliau telah menggesa agensi kerajaan untuk mempercepatkan proses pengeluaran tender agar nadi perhubungan utama penduduk dapat disiapkan segera.

“Saya juga akan minta Pejabat Daerah Raub dan Pengurus Besar Felda Lembah Kelau proses pengeluaran tender itu selewat-lewatnya hari ini (semalam) untuk kita bawakan perkara terbabit kepada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan juga kerajaan negeri.

“Kalau semua berkaitan cepat diperolehi, kita terus buat, sebab kalau tak buat memang menyusahkan 28 peneroka,” katanya.

Dalam pada itu, Shahiruddin berkata. pihaknya juga telah berbincang dengan pegawai KeTTHA dan jika dari teknikalnya menimbulkan masalah, paras maksimum empangan ini harus diturunkan sedikit mengikut musim.

Menurutnya, mereka perlu mengambil tindakan pantas untuk menurunkan paras air supaya air tidak mengalir ke seluruh Felda dan akan menyusahkan ramai pihak.

“Saya akan cuba mendapatkan laporan khas daripada Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Zaini Ujang supaya dapat dapat mereka melihat pantas keadaan di sini.

“Ini kerana kebanyakannya tanah ini di bawah kawalan mereka dan mereka juga harus melihat kesan bila air melimpah, ia agak memberi kesan kepada peneroka di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua kampung Felda Lembah Kelau, Abu Bakar Mahmood berkata, pihaknya akan menyerahkan urusan tersebut kepada agensi berkenaan untuk membaiki dan memulihkan keadaan yang dihadapi oleh peneroka di sini.

“Kami juga telah berusaha buat peneroka di sini dan yang akan selesaikan, kita serahkan kepada pihak berwajib supaya jalan ini kembali digunakan oleh penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, pengurusan Empangan Kelau menafikan dakwaan kononnya empangan berkenaan pecah sehingga mengakibatkan banjir di Felda Lembah Kelau dan kawasan sekitarnya.

Pengurusnya, Seck berkata, kejadian banjir itu tiada kena-mengena dengan empangan pecah, namun ia sengaja direka bagi memburukkan lagi keadaan.

“Banjir ini terjadi sebab kerana hujan lebat yang menyebabkan limpahan air sungai. Empangan Kelau berada dalam keadaan baik dan jika penuh pun ia (empangan) akan mengeluarkan air melalui alur limpah ke sungai.

“Saya minta orang ramai agar tidak panik, tidak perlu sebar benda yang tidak betul dan tidak perlulah mereka-reka cerita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, jika benar perkara itu berlaku, sudah tentu ramai yang terkorban, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Hentikan sebar benda yang tidak sahih. Semua empangan di sini masih dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.


0 comments:

share2