Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 19, 2017

[ROMPIN] BELON HIASAN BAWA UNTUNG


Belon hiasan bawa untung


Memandangkan tiada perniagaan atau individu yang menawarkan perkhidmatan hiasan untuk sebarang majlis berasaskan belon di Rompin, peluang itu dimanfaatkan seorang anak muda sehingga memberi hasil pulangan yang lumayan.

Malah Pengasas The Balloonian Shop, Nur Shiera Idania Ismam, 27, dilihat berjaya membuka mata masyarakat terhadap tarikan hiasan belon dalam sesuatu majlis atau disertakan bersama hadiah.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu berkata, semuanya bermula semasa mahu meraikan hari jadi suaminya selepas mereka menetap di Kuala Rompin berikutan suaminya, Mohamad Zhahran Samsuddin, 27, ditugaskan di daerah itu pada 2012,

“Jika di Selangor perkhidmatan sebegini memang dah ada tetapi selepas pindah ke Kuala Rompin, waktu saya rancang untuk meraikan hari jadi suami saya cari tapi tak ada, ketika itulah datangnya idea untuk buka perniagaan ini.

“Tapi saya tak mulakannya tanpa ilmu atau kemahiran, saya pergi belajar dengan seorang peniaga Cina di Kuala Lumpur dan selepas itu baru saya mulakannya di rumah dengan mengambil tempahan melalui atas talian pada September tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang lebih mesra dipanggil Idania berkata, selepas beberapa bulan beroperasi permintaan semakin meningkat lalu memutuskan untuk membuka kedai dengan menyewa premis di Bazar Rompin kerana memerlukan tempat yang sesuai bagi melakukan kerja serta menempatkan barang-barang.



"Jika hanya bergantung pada belon semata-mata mungkin susah sikit tarik pelanggan tapi bila sediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti pakej surprise delivery, ramai yang mula menyukainya.

"Pakej juga tak terhad sebaliknya turut menawarkan perkhidmatan dekorasi belon untuk majlis seperti perkahwinan, hari ulang tahun dan gimik perasmian berdasarkan permintaan pelanggan," katanya.

Menurutnya, keyakinan juga diperlukan dalam menjalankan perniagaan supaya boleh pergi jauh dan maju ke hadapan lebih-lebih lagi melihat perkhidmatan seumpama itu kini sudah menjadi trend terutama dalam kebanyakan majlis.

“Jika kita lihat sekarang banyak majlis dah gunakan belon untuk dijadikan antara hiasan atau tarikan sekali gus permintaannya memang menggalakkan.

“Perniagaan seperti ini pada saya memang sudah terbukti boleh pergi jauh kerana ia dilalui saya sendiri, mulanya beroperasi di rumah hingga sekarang dah ada kedai yang dibuka pada Mac lalu,”katanya.



Idania turut mengakui setiap perniagaan mempunyai asam garam serta cabaran dan dia sendiri tidak terkecuali melaluinya apabila berhadapan pelanggan yang membatalkan tempahan pada saat akhir menyebabkannya kerugian.

"Selepas kejadian pelanggan batal tempahan pada saat akhir, saya minta supaya pelanggan membayar deposit terlebih dahulu untuk elak tanggung kerugian.

“Ada juga yang takut dengan belon gas dan perlu saya terangkan kepada mereka bahawa gas yang saya gunakan jenis helium iaitu jenis tidak terbakar,” katanya.


0 comments:

share2