Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 26, 2017

[KUANTAN] JAIP PANTAU HOTEL SAJI BUFET RAMADAN

Jaip pantau hotel saji bufet Ramadan



Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan terus memantau hotel-hotel yang menyajikan bufet Ramadan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, pemantauan sebelum dan semasa Ramadan dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan, prosedur dan piawaian Halal dalam aspek penyediaan makanan sentiasa dipatuhi oleh pihak hotel terutama di bukan Ramadan.

Menurutnya, antara hotel yang dipantau memegang sijil pengesahan Halal Malaysia di sekitar Bandar Kuantan, Cherating dan Balok.

“Selain pemantauan terhadap bahan ramuan yang disahkan halal, aspek amalan pematuhan terhadap peraturan kebersihan turut diberi penekanan.

“Berdasarkan pemantauan yang telah dilaksanakan, Jaip berpuas hati dengan komitmen industri hotel dalam aspek pematuhan halal. Bagaimanapun masih terdapat beberapa ketidakpatuhan kecil yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Sinar Harian.

Noridzuan berkata, pemantauan dilaksanakan bersepadu oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jaip dengan kerjasama pegawai dan kakitangan dari Pejabat Agama Islam Daerah melibatkan 17 anggota.

Katanya, pemantauan berkala dilaksanakan sepanjang Ramadan.

“Justeru Jaip menasihatkan pihak hotel agar terus memberi komitmen penuh untuk mematuhi segala prosedur dan piawaian halal bagi terus meningkatkan kepercayaan pengguna, terutama sempena bulan Ramadan.

“Pengguna yang berhasrat untuk berbuka puasa di hotel pula, dinasihatkan agar memilih hotel yang telah disahkan halal,” katanya.




0 comments:

share2