Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 1, 2017

[KUANTAN] 10 MAT REMPIT KENA TAHAN


10 mat rempit kena tahan


Hasrat 10 mat rempit untuk menunjukkan aksi masing-masing di atas jalan raya, tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam operasi cegah samseng jalanan di Jalan Sekilau, di sini awal pagi, semalam.

Dalam operasi dari jam 11.30 malam kelmarin hingga 5.30 pagi semalam itu, kesemua mereka berjaya diberkas polis selepas cubaan meloloskan diri gagal.

Operasi diketuai seorang pegawai dan enam anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan dibantu 14 Sukarelawan Polis (PVR).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kesemua mat rempit terbabit berusia di antara 20 hingga 30 tahun.

“Motosikal yang mereka tunggang diubah suai di bahagian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, motosikal milik kesemua mat rempit terbabit disita dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, 140 kenderaan termasuk motosikal, kenderaan, lori dan van diperiksa dalam operasi itu.

Katanya, 55 saman bagi pelbagai kesalahan dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu, mempamerkan cukai jalan tamat tempoh, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak menampal P dan L serta tiada cermin sisi.

“Seorang remaja bawah umur berusia 14 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen memandu.

“Bagaimanapun, kita sudah menghubungi keluarganya untuk memaklumkan tangkapan itu,” katanya.


0 comments:

share2