Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 25, 2017

JERANTUT SYURGA PUSAT JUDI DAN MAKSIAT?




Lebih 11 pusat judi dan maksiat beroperasi 24 jam secara bebas di Jerantut, kata Pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sanjeevan.

Menurutnya, berdasarkan aduan yang diterima pusat-pusat judi haram itu menjalankan perniagaan tanpa tindakan daripada pihak polis dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) .

“MyWatch menerima aduan dan maklumat dari penduduk sekitar Jerantut, Pahang bahawa di daerah ini terdapat lebih 11 buah Pusat Judi/Maksiat yang aktif beroperasi secara terbuka di pekan kecil Jerantut sahaja, tidak termasuk di kawasan lain.

“Jerantut ini bukanlah sebuah daerah yang besar seperti Kuantan mahupun Temerloh tetapi premis judi di sini bermaharajalela beroperasi 24jam tanpa sebarang masalah dan tindakan daripada pihak berkuasa khususnya PDRM dan PBT,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambahnya, sekalipun terdapatnya pemantauan dan serbuan dari pihak berkuasa malangnya ia dilakukan dengan jarang walaupun ada pusat-pusat judi yang beroperasi hanya 100 meter dari balai polis.

Sehubungan itu Yang Dipertua Daerah, Ketua Polis daerah berkenaan dan Ketua Siasatan Jenayah Daerah itu bertindak lebih agresif sebelum MyWatch memanjangkan isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) .

“Umum mengetahui YDP Daerah Jerantut ialah seorang wanita iaitu Tengku Nor Asmaliza Binti Ku Lah tetapi itu bukanlah halangan untuk beliau turun padang dan mengumpul pasukan bagi membanteras kegiatan perjudian yang semakin aktif di kawasannya.

“MyWatch menggesa Ketua Polis Daerah Jerantut dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Jerantut lebih agresif selepas ini dalam menyerbu premis-premis judi. Jika tiada tindakan MyWatch tidak akan teragak-agak untuk melaporkan isu ini kepada SPRM,” katanya lagi.

Dalam satu perkembangan terbaru, seorang pegawai kanan polis dari Jerantut menafikan dakwaan Sanjeevan.

“Ia tidak benar. Jerantut bukan Las Vegas atau sebuah syurga bagi sindiket haram untuk beroperasi. Kami memantau setiap maksiat dan masalah jenayah di sini,t” katanya kepada Berita Daily.

Tambah pegawai tersebut yang dimahu dikenali identiti bahawa Jerantut juga bukan kawasan yang selamat untuk pusat judi dan maksiat. Polis juga telah mengambil tindakan yang perlu mengawal masalah ini.

“Dari masa ke semasa kita telah telah mengambil tindakan yang perlu seperti menyerbu premis dan merampas mesin judi mereka. Kami juga mendakwa mereka di bawah undang-undang,” kata pegawai polis itu lagi.


0 comments:

share2