Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 3, 2017

[JERANTUT] BUTA SEBELAH MATA BUKAN PENGHALANG


Buta sebelah mata bukan penghalang


Obsesi pada batang pokok mati atau terbiar membuatkan seorang peneroka Felda Padang Piol di sini mempelajari seni ukiran kayu menerusi lama sosial YouTube. 

Dalam tempoh tiga bulan sahaja, peneroka itu kini sudah mula mengambil tempahan membuat hiasan pintu termasuk hiasan rumah yang dibuat dari batang pokok mati atau terbiar. 

Lebih menarik, walaupun hanya boleh melihat sebelah mata sahaja, ia tidak mematahkan semangat, Md Hassim Shari, 62, meneruskan hobi kreatifnya itu. 

Md Hassim berkata, pada asalnya dia mencari batang pokok mati atau terbiar di dalam ladang untuk dijadikan sebagai sarang untuk lebah kelulut peliharaannya. 

Jelasnya, ketika meneliti batang pokok mati itu, dia melihat batang tersebut mempunyai bentuk yang menarik justeru, terfikir untuk menjadikannya sebagai hiasan rumah. 

Datuk kepada 14 cucu itu kemudiannya tekad untuk mempelajari cara dan kaedah untuk menjadikan batang pokok mati itu sebagai hiasan melalui YouTube. 

“Selepas tengok beberapa video dalam YouTube, saya nekad nak buat hiasan pintu. Kebetulan saya memang sudah ada kelengkapan memotong memandangkan saya juga seorang tukang buat rumah dan memgambil tempahan membuat kepok atau dapur kubur selain perlu membeli peralatan untuk mengukir dan mencantikkan kayu,” katanya. 

Cubaan pertamanya ialah menghasilkan hiasan pintu rumahnya yang diukir dengan nombor rumahnya. 

Katanya, lama-kelamaan hasil kerjanya mendapat perhatian jiran tetangga dan saudara mara sehinggakan kini hampir setiap hari Md Hassim menerima tempahan. 

Kraftangan diterbangkan ke Indonesia

“Hasil kraftangan saya ini juga telah diterbangkan ke Indonesia oleh saudara saya yang ada di sana. Namun saya tidak mengambil tempahan dari sana memandangkan kos penghantaran yang tinggi. 

“Saya cuma mengambil tempahan sekitar daerah ini dan daerah berdekatan. Malah saya juga ada menerima tempahan dari Johor,” katanya. 

Tidak hanya membuat hiasan pintu dan hiasan dalaman rumah, malah Md Hassim juga menerima tempahan membuat papan tanda rumah dan meja.

Meja tempahan pelanggan di mana kayu dan batang pokok dihantar sendiri oleh pelanggan.

“Tengok pada keunikan batang pokok itu dan atas permintaan orang. Ada yang hendak saya jadikan hiasan bercermin, ada juga yang datang bawa batang kayu sendiri untuk dijadikan papan tanda rumah dan meja,” katanya.

Katanya, setiap tempahan yang diambil tidak memerlukan modal tinggi memandangkan batang pokok mati hanya perlu dicari dan dikutip di kawasan ladang, selain disediakan sendiri oleh pelanggan.

“Saya cuma mengambil upah untuk ukiran dan cat memandangkan kayu itu sudah cantik semula jadi. Biasanya saya akan jual pada harga RM50 sehingga RM70 bergantung pada saiz untuk hiasan pintu. Jika ada tambahan cermin, mungkin berbeza harganya. Untuk meja pula, ada yang mencecah sehingga RM3,000 bergantung pada jenis kayu yang digunakan,” katanya. 

Belajar menerusi carian internet 

Bercerita lanjut tentang hiasan pintu yang dibuatnya, Md Hassim memberitahu, bentuk tulisan sama ada jawi atau rumi turut dipelajari dari YouTube atau diambil dari carian internet. 

“Kadang ada pelanggan yang cari dan tunjuk pada saya bentuk tulisan macam mana yang mereka mahu dan saya hanya perlu meniru bentuk tulisan itu,” katanya. 

Menurutnya lagi, tidak semua jenis batang pokok mati yang boleh diambil dan dijadikan hiasan kerana ia bergantung kepada ketahanan kayu itu sendiri. 

“Kebiasaannya yang ada dalam ladang adalah kayu dari batang pokok tembusu. Kayu tembusu ini tahan lama dan kebiasaannya digunakan sebagai alas pemotong daging. 





“Menariknya kayu dari pokok mati ini ialah corak yang terbentuk pada batang kayu dari hakisan tanah, bukan kerana dimakan anai-anai. Kebanyakan yang saya nampak jika dipotong serong akan membentuk seperti seekor ikan,” katanya turut memberitahu kebanyakan batang pokok mati yang dikutipnya dari ladang berusia lebih 50 tahun.

Selain tembusu, ada juga hiasan yang dibuat dari batang pokok manggis, namun menurut Md Hassim, kayu dari pokok manggis memakan masa untuk disiapkan kerana perlu melalui proses pengeringan berbanding hiasan dari kayu tembusu yang boleh disiapkan dalam tempoh tidak sampai sehari. 

Md Hassim yang juga meminati aktiviti menanam pokok bunga turut menjadikan batang kayu buruk yang ditemuinya sebagai hiasan pokok bunga sekali gus mencantikkan landskap di kawasan rumahnya. 

Bapa kepada empat anak itu, memberitahu kecacatan yang dialaminya itu langsung tidak menghalangnya meneruskan minatnya terhadap seni ukiran kayu.

Buta mata sebelah kiri

Bercerita lanjut tentang keadaan mata Md Hassim yang buta, dikatakan dia mula tidak dapat melihat menerusi mata sebelah kirinya itu sejak tahun 2004 akibat diserang penyakit kayap. 

Dia juga pemegang kad OKU bagaimanapun, mengakui turut kekok ketika mulanya apabila terpaksa melakukan kerja seharian dengan sebelah mata. 

“Mula-mula memang agak kekok, namun lama kelamaam saya sudah biasa. Saya diminta seorang rakan untuk membuat kad OKU. Walaupun tidak menerima bantuan bulanan kerana melihat dari sudut kemampuan saya, namun saya memiliki pelbagai kelebihan terutama dari sudut mendapatkan rawatan dan tempat letak kereta,” katanya. 

Md Hassim dalam pada itu berkata, kekurangan seseorang itu tidak harus dijadikan halangan buat mereka meneruskan minat sekali gus menjana ekonomi tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.


0 comments:

share2