Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 3, 2017

[KUANTAN] JEMAAH PENGAMPUNAN PAHANG CADANG LAKSANA KAEDAH DIYAT



Jemaah Pengampunan Pahang bercadang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa mengikut undang-undang Islam atau diyat sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan hukuman mati bagi sabitan membunuh.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kaedah itu yang dipercayai tidak pernah dilaksanakan di negeri lain sudah dibincangkan pada mesyuarat lembaga jemaah pengampunan.

“Kaedah ini dapat memberi peluang kepada banduan supaya tidak dikenakan hukuman mati, tetapi sebagai balasan digantikan dengan hukuman lain yang bersesuaian dan mengikut pendapat keluarga mangsa.

“Ini pendekatan yang ada dalam undang-undang Islam dan cadangan ini apabila diputuskan adalah bertepatan dengan syariah Islam. Boleh berbincang semula dengan keluarga mangsa. Perkara ini bergantung juga kepada kes yang dihadapi.

“Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif. Sama-sama kita fikirkan adakah ia baik tetapi daripada sudut syariat, ia adalah dibenarkan,” titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Peguam Syarie Pahang Mohamad Sazali Abdul Aziz.

Baginda bertitah diyat juga sesuai untuk dipraktikkan kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam.

Sementara itu, Tengku Abdullah dalam dalam titah ucapan baginda mengingatkan peguam syarie untuk mematuhi peraturan undang-undang Islam dan etika serta amalan sebagai peguam syariah kerana mereka adalah sebahagian daripada komponen perundangan Islam.

“Saya nasihatkan supaya semua berusaha bersungguh-sungguh menjaga nama baik profesion ini. Pelihara martabat dan kehormatan perundangan Islam.

“Jalankan tugas dan peranan dengan baik demi menegakkan keadilan supaya rakyat sentiasa terbela dan mendapat hak serta pembelaan yang sepatutnya,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah sebagai golongan yang arif dengan perundangan Islam, peguam syarie juga seharusnya memainkan peranan turun ke peringkat akar umbi bagi memberi penjelasan tentang kekeliruan berkaitan undang-undang Islam.

“Peguam syarie juga perlu memainkan peranan memberi input yang sesuai kepada pihak berkenaan yang membolehkan penambahbaikan dapat dilaksanakan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan bagi kebaikan masyarakat,” titah baginda.

Pada majlis itu, seramai 89 peguam syarie yang menjadi pengamal syarie di Pahang sejak 1991 menerima pentauliahan mereka, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin.

0 comments:

share2