Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 14, 2017

[JERANTUT] BAIKPULIH PAIP BOCOR SELESAI

Baik pulih paip bocor selesai



Masalah paip bocor di Lorong 5, Taman Sri Jaya di sini cetus rasa tidak selesa penduduk setempat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Wong Chun Yuan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu sekali gus membuat tinjauan bagi melihat masalah berkenaan, kelmarin.

Tinjauan mendapati paip terbabit bocor dan mengeluarkan air yang deras sekali gus menganggap ia satu pembaziran.

“Pemilik rumah bersebelahan paip bocor ini bagaimanapun tidak berada di rumah dan saya difahamkan dia jarang balik kerana menetap di Kelantan.

"Kerana tidak tahan melihat pembaziran air ini, seorang penduduk telah membuat aduan kepada pihak kami,” katanya.

Chun Yuan berkata, menerusi aduan yang diterima, masalah itu dikatakan telah berterusan sejak seminggu lalu namun masih belum ada sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, dari tinjauan Sinar Harian petang semalam, mendapati paip bocor berkenaan telah dibaik pulih sepenuhnya.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Paip, Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, berdasarkan rekod pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan masalah itu melainkan daripada pihak Pejabat AMK Pahang, petang kelmarin.

“Kita telah mengarahkan unit peronda untuk meninjau dan mendapati memang ada berlaku masalah paip bocor di kawasan itu.

"Sehubungan itu, tindakan baik pulih telah diambil,” katanya.

Pihak Paip dalam pada itu berharap agar orang awam terus menyalurkan maklumat berkaitan kepada saluran yang disediakan oleh mereka bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih segera dilakukan.

“Kami telah menyediakan kemudahan kepada orang awam untuk memudahkan aduan iaitu menerusi talian pusat khidmat pelanggan 09-573 9999.

“Malah, aduan juga boleh dibuat menerusi aduan@paip.com.my atau sistem e-aduan menerusi lama sesawang aduan.paip.com.my,” katanya.




0 comments:

share2