Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 10, 2017

CERITA DETIK CEMAS KETIKA BOT DILANGGAR


bot terbalik


Alor Setar - "Kami cuba untuk memberi isyarat agar kapal itu berhenti tetapi malangnya mungkin kerana hujan lebat kapal itu tidak nampak dan terus merempuh bot kami," kata Anukun Matuwet, 58, tekong bot yang terselamat dalam kejadian di perairan Kuala Muda awal pagi semalam.

Ketika kejadian, Anukun berkata, dia dan tiga lagi rakannya baru sahaja meletakkan pukat sebelum terlihat kelibat sebuah kapal dagang yang bergerak agak laju dan terus melanggar bahagian belakang bot mereka.

"Insiden itu mengakibatkan bot kami bocor dan dimasuki air, bagaimanapun kami semua sempat memakai jaket keselamatan sebelum bot karam setengah jam kemudian," katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Kuala Kedah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua selamat, seorang maut manakala seorang lagi hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka untuk memukat ikan dilanggar sebuah kapal dagang di perairan Kuala Muda, kira-kira 37 batu nautika dari barat Kuala Muda.

Anukun berkata, mereka cuba untuk berenang namun seorang rakan mereka, Somchok Sutprasert, 33, tidak larat berenang dan akhirnya mati, manakala seorang lagi, Ekkachai Sutprasoet, 45, hanyut dan hilang di laut.

Anukun dan seorang lagi rakannya yang terselamat, Phaisan Dalem, 30, terpaksa menunggu di air sehingga lima jam sebelum mereka diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan kira-kira 8 pagi.

"Dalam tempoh menunggu itu saya dan Phaisan tetap memegang mayat rakan kami yang sudah meninggal dunia," katanya sedih.

Pemilik bot berkenaan pula, Cheng Boon Toi, 53, pula berkata dia mendapat tahu mengenai berita kemalangan tersebut pada pukul 9 pagi daripada beberapa rakan nelayan lain melalui walkie talkie.

"Mereka sepatutnya pulang pada keesokkan hari dan dijangka tiba pada waktu petang selepas berada di laut sejak Jumaat lalu untuk menangkap ikan.

"Mereka nelayan yang berpengalaman dan sudah menggunakan bot saya itu sejak setahun yang lalu," ujarnya.


0 comments:

share2