Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 12, 2017

TIADA KOMPROMI KEPADA PIHAK HINA ISLAM


Tiada kompromi kepada pihak hina Islam


Ipoh – Pas Perak menggerakkan himpunan aman dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melibatkan 24 kawasan parti itu, semalam sebagai bantahan terhadap penerbitan karikatur oleh sebuah akhbar berbahasa Cina.

Setiausahanya, Mohd Zawawi Abu Hassan berkata, gerakan itu dilakukan secara serentak bermula jam 9 pagi.

Menurutnya, sidang media khas mengenai pendirian Pas dalam soal itu juga dibuat sempena hari terakhir Persidangan Dewan Negeri Perak, semalam.

“Sepertimana pendirian Pas pusat, kita juga tidak boleh berkompromi dalam perkara seumpama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pas Kawasan Kuala Kangsar meminta polis teruskan siasatan terhadap tindakan mempersendakan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Pas, meskipun mereka sudah membuat permohonan maaf secara rasmi.

Yang Dipertuanya, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah berkata, siasatan itu sebagai pengajaran terhadap tindakan tidak bertanggungjawab dengan menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Pertama, mereka seolah-olah menghina orang memakai serban iaitu pakaian orang Islam. Kedua, mereka menghina orang memakai songkok, juga pakaian orang Islam.

“Kita minta polis untuk siasat pihak berkenaan walaupun mereka sudah meminta maaf dan bertanya apa masalah sebenar dan tujuan mereka siarkan karikatur itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara menyentuh sensitiviti agama perlu dihentikan demi menjaga keharmonian negara.

Dalam perkembangan sama, Pas Kawasan Teluk Intan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan bagi mengetahui apa motif utama akhbar tersebut menyiarkan kartun berkenaan.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Teluk Intan, Mohd Azhar Rafaei berkata, jika didapati akhbar itu melanggar peraturan, pihaknya menggesa lesen penerbitan mereka digantung sebagai pengajaran.

“Tindakan berkenaan jelas menunjukkan akhbar tersebut tidak menghormati undang-undang Islam sebagaimana umat Islam menghormati agama mereka, jadi dalam hal ini, KDN perlu bertegas bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.


0 comments:

share2