Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 12, 2017

RAMAI MATI KEBULURAN SETIAP HARI


Ramai mati kebuluran setiap hari


Banyak negara dan pertubuhan berikrar mempertahankan hak-hak kemanusiaan, menghapuskan kebuluran dan penindasan, memerangi keganasan serta macam-macam lagi.

Namun, dari segi pembaziran makanan, setahu saya, belum ada negara, termasuk negara-negara maju, yang terlepas daripada masalah yang kritikal itu. 

Kajian dijalankan sejak beberapa tahun lalu menunjukkan warga Amerika Syarikat (AS) turut membazirkan makanan yang banyak.

Berdasarkan laporan Guardian tidak lama dahulu, kira-kira 60 juta tan bernilai $160 bilion - amaun bersamaan satu per tiga daripada semua bahan makanan - dibuang setiap tahun di AS.

Di United Kingdom, sebanyak 6.7 juta tan makanan dilaporkan dibazirkan setiap tahun, melibatkan kos £10.2 bilion.

Beberapa kajian yang pernah dibuat dalam tempoh setahun dua ini juga menonjolkan hakikat yang sangat menyedihkan, iaitu lebih 93 peratus responden di AS mengaku mereka membeli makanan yang mereka akhirnya buang begitu sahaja.

Di Denmark, Kementerian Alam Semula Jadinya melaporkan tidak lama dahulu bahawa lebih daripada 700,000 tan makanan dibazirkan di negara itu setiap tahun.

Bagaimanapun, negara berkenaan berjaya mengurangkan sebanyak 25 peratus kadar pembazirannya antara 2010 dan 2015.

Dengan jangkaan kadar peningkatan penduduk dunia mencapai 9.6 bilion menjelang 2050 dan dengan kebanyakan pertumbuhan berlaku di negara-negara membangun, lebih separuh daripada jumlah itu di Afrika, adalah menjadi cabaran besar kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk memerah otak mencari jalan bagaimana mahu mengeluarkan makanan untuk setiap orang.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), cara untuk menentukan bekalan mencukupi bukan dengan mengeluarkan lebih banyak bahan makanan untuk penduduk yang bertambah, tetapi apa yang diperlukan ialah memberhentikan pembaziran daripada makanan yang kita ada.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian di bawah PBB menjangkakan setiap tahun satu pertiga daripada semua makanan dikeluarkan untuk manusia di seluruh dunia, iaitu 1.3 bilion tan dengan nilai RM4.4 trilion, dibazirkan.

Ini termasuk 45 peratus sayur-sayuran dan buah-buahan, 35 peratus ikan dan makanan laut, 30 peratus bijirin, 20 peratus produk susu dan 20 peratus daging.

“Makanan yang hilang ini merangkumi satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan dan cukup untuk memberi makan tiga bilion orang,” kata pertubuhan itu.

Setiap tahun, katanya, Malaysia kehilangan kira-kira 28.5 peratus daripada beras yang dituai, bernilai RM918 juta.

Lebih menyedihkan adalah keadaan pembaziran ini seperti tiada hujungnya sedangkan statistik pertubuhan itu menunjukkan kira-kira 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat.

Banyak lagi maklumat dan angka yang boleh dipaparkan untuk membuktikan betapa seriusnya isu pembaziran ini, tidak kira di negara miskin, negara membangun atau negara yang sudah maju.

Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah pembaziran makanan ini.

Rakyat Malaysia dianggarkan membuang 15,000 tan metrik sisa organik setiap hari.

Dari kadar itu, lebih 3,000 tan metrik adalah sisa makanan yang masih boleh dimakan, melibatkan pembaziran sebanyak RM6 juta.

Justeru, apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa baru-baru ini meminta supaya dielakkan menghidangkan makanan untuk mesyuarat kementerian atau jabatan, supaya tidak membazir, saya setuju sangat.

Malah, saya kira ia sepatutnya sudah lama diamalkan.

“Jika anda dapat, elak perkara itu dan jika boleh jangan hidang apa-apa, terutama jika anda perlu menghadiri mesyuarat sebaik selepas makan tengah hari. Kita perlu berhenti hidang makanan, mungkin (hidang) air mineral sahaja jika perlu,” katanya ketika melancarkan kempen MYSaveFood untuk penjawat awam, minggu lepas.

Menurutnya, beberapa kementerian telah mengamalkan konsep berkenaan dan agensi lain digalakkan mencontohinya.

Saya juga setuju cadangan beliau supaya ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan menjadikan amalan itu matlamat organisasi masing-masing.

Kita alu-alukan gesaan Ali supaya semua 1.6 juta penjawat awam turut memainkan peranan dalam kempen MYSaveFood yang membawa slogan Hentikan Pembaziran, Hentikan Kelaparan itu.

Bayangkan berapa banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mengadakan mesyuarat setiap hari dan betapa banyaknya wang yang boleh dijimatkan sekiranya mesyuarat-mesyuarat dijalankan tanpa hidangan makanan.


0 comments:

share2