Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 12, 2017

[KUANTAN] PAHANG NIKMATI LIMPAHAN EKONOMI MELALUI ECRL


Pahang nikmati limpahan ekonomi melalui ECRL


Pelaksanaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diharap memberi limpahan ekonomi kepada rakyat di negeri ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah , projek bernilai RM55 billion membabitkan laluan sepanjang 620 kilometer (km) itu juga mampu menjadi kemudahan terkini untuk dinikmati di samping memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Titahnya, kontraktor di negeri ini perlu diberi peluang terbabit dalam projek pembinaan ECRL yang bakal dilaksanakan nanti.

"Justeru, saya mahu kontraktor di negeri ini menyahut cabaran untuk terlibat di dalam projek bernilai tinggi ini.

"Seterusnya dapat menjana sektor ekonomi kepada kontraktor di sini," titahnya sempena Perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Ke 13, di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob.

Tengku Abdullah turut melahirkan rasa sukacita melihat pertumbuhan ekonomi negeri Pahang yang terus kukuh ke arah pembangunan positif.

Titahnya, kerajaan negeri telah mengunjurkan prospek pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 4.6 peratus bagi tahun ini berbanding kadar 4.3 peratus pada tahun lalu.

“Kerajaan telah meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek-projek RMK 11 pada tahun lalu di samping 141 projek baru dan 190 projek sambungan dengan kos RM2.4billion.

“Selain itu, saya berharap agar sektor pertanian terus berkembang maju ekoran peningkatan sebanyak 18 peratus pengeluaran susu segar di negeri ini pada tahun lalu. Ini menunjukkan industry perternakan mampu menyumbang kepada ekonomi yang mampan dalam industri pertanian,” titahnya.

Tengku Abdullah turut berbangga dengan pencapaian nilai pelaburan negeri yang meningkat kepada RM5.2 billion pada tahu tahun lalu berbanding RM3.9billion pada tahun 2015.

“Saya yakin peningkatan pelaburan ini mampu memberikan manfaat ekonomi yang berterusan kepada rakyat di negeri ini,” titahnya.

Dalam ucapan itu juga, Tengku Abdullah turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil kira soal pemuliharaan alam sekitar dalam setiap projek pembangunan yang dilaksanakan.

Titahnya, kawasan berisiko tinggi seperti tanah tinggi, punca air dan sebagainya mesti diberi keutamaan dalam melaksanakan rancangan pembangunan.


0 comments:

share2