Mutakhir ini, saban hari kita didedahkan dengan pelbagai isu yang ber-punca daripada pudarnya nilai budaya, terutama sikap hormat-menghormati sesama insan. Paling membimbangkan budaya ini sema-kin terhakis dan gagal dibudayakan dalam kalangan masyarakat kita. Apabila budaya ini tiada, ia bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia malah akan menyebabkan imej Islam dipandang negatif oleh pelbagai pihak.
Baru-baru ini, Perdana Menteri melalui ucapan beliau dalam Kongres Kebudayaan 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan, budaya adalah penting dalam membentuk identiti dan masa depan negara kita. Malah, beliau turut mengimpikan sebuah masyarakat Malaysia moden yang berbudaya tinggi dan meletakkan Malaysia antara 20 negara teratas di dunia, bukan sahaja berdasarkan pendapatan per kapita negara, teknologi dan infrastruktur, tetapi juga dari segi ketinggian budaya murni dan martabat.
Cita-cita besar ini seharusnya disahut sebagai satu cabaran oleh generasi muda untuk sama-sama merealisasikannya dengan membangunkan negara ini berteraskan budaya saling hormat-menghormati tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Walaupun kini media sosial menjadi sebahagian besar budaya Malaysia, jika tidak dikawal, ia mampu menjejaskan budaya dan nilai tempatan sedia ada.
Hakikatnya, nilai budaya dan akhlak murni merupakan parameter yang menjadi petunjuk untuk sesebuah masyarakat menjalani kehidupan. Namun, sudah pasti nilai tersebut berbeza antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain. Begitu pun, sikap toleransi dan hormat-menghormati mampu mengharmonikan perbezaan yang wujud untuk terus mengekalkan keamanan dan kemakmuran.
Kenapa perlunya toleransi dan hormat-menghormati sesama insan? Ini kerana semua manusia mendambakan kedamaian. Perbezaan agama, budaya dan warna kulit bukan penghalang untuk kita saling menghormati. Kedamaian dan kebahagiaan hidup ini akan wujud ketika kita mahu menerima perbezaan. Cuba bayangkan, sekiranya nilai budaya ini dipandang enteng dan tidak diamalkan. Apa akan terjadi kepada generasi muda yang mewarisi identiti bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dibanggakan sekarang?
Sikap hormat-menghormati merupakan faktor asas yang diterapkan Rasulullah SAW dalam membina sebuah masyarakat yang kukuh. Malah, ia juga merupakan antara ciri-ciri yang menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Contohnya, memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama dan menghargai serta mengenang budi dan jasa orang lain kepada kita.
Paling mudah, budaya ini bukan sahaja dapat dizahirkan melalui tindakan, malah dalam pergaulan kita seharian. Pertimbangkanlah setiap patah tutur kata yang kita ucapkan. Gunakan bahasa yang baik dalam pertuturan dan beradab dalam perilaku. Malah ia juga menjadi syarat kesempurnaan iman seseorang Mukmin, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.” Bukti lain yang menunjukkan betapa pentingnya menjaga tutur kata dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW yang menegaskan, “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim, dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam,”
Sama halnya jika kita sering mengecam orang-orang yang tidak menganut pandangan yang sama dengan kita. Tentunya, orang-orang yang kita kecam itu tidak akan lagi mahu menghormati kita. Apa pun keyakinan yang kita ada, sikap tidak toleran, cepat menghakimi dan mendiskriminasikan orang lain adalah tidak menggambarkan ciri-ciri seorang Muslim.
Sebagai individu Muslim yang beriman, kita perlu pupuk diri sendiri untuk sentiasa menghormati dan menghargai orang lain. Ra-sulullah SAW juga mengajar untuk kita menghargai orang lain dengan sentiasa mendoakannya. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim AS yang paling banyak mendoakan untuk orang lain dan zuriat keturunannya sebagaimana doa baginda yang ALLAH rakamkan dalam al-Quran. “Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku,” dan ternyata paling ramai nabi dan rasul dilahirkan daripada zuriat keturunan Nabi Ibrahim as.
Justeru, perlu disedari hidup ini bukan untuk diri kita sahaja, kerana dalam hidup ini juga ada peranan kita terhadap orang lain.
0 comments:
Post a Comment