Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 13, 2017

[ROMPIN] JTLM PAHANG SASAR TINGKAT PRESTASI PENGURUSAN


JTLM Pahang sasar tingkat prestasi pengurusan


Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang menyasarkan untuk menambahbaik perkhidmatan dalam memastikan kawasan Taman Laut Pulau Tioman sentiasa dalam keadaan baik.

Semangat itu dizahirkan selepas jabatan itu menerima bot peronda laju baharu versi Catamaran yang dibekalkan dengan dua enjin 350 kuasa kuda dan diberi nama PTL40 Cheilinus.

Pengarahnya, Mohd Fazli Long, berkata, berkata, penerimaan bot laju baharu itu menjadikan ia yang keenam tidak termasuk sebuah kapal selepas kali terakhir menerimanya pada tahun lalu.

Menurutnya, setiap bot yang dimiliki JTLM Pahang itu masing-masing mempunyai kelebihan dan kegunaannya tersendiri selaras dengan bidang tugas jabatan yang pelbagai.

"Selepas ini kita akan terus menambah baik sistem pengurusan kerja daripada pelbagai aspek seperti operasi rondaan dan sebagainya.

"Untuk pengetahuan semua, JTLM secara umumnya bukan sekadar melakukan rondaan tetapi juga penyelidikan, pengurusan taman laut, menyelia kemudahan yang ada di perairan seperti boya penambat serta penanda kawasan selain kegunaan logistik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bot kepada JTLM Pahang dan Johor di Tanjung Gemok, di sini, semalam.

Mohd Fazli berkata, selepas menerima versi Catamaran, bot yang dimiliki kini semakin lengkap kerana yang sedia ada terdiri daripada versi Barracudda, Rigid Inflatable Bot (RIB) dan Explorer.

Katanya, bot PTL40 Cheilinus merupakan jenis yang serbaguna menjadikan ia memiliki banyak fungsi dan sesuai digunakan dalam pelbagai situasi.

Dalam pada itu, Mohd Fazli turut menzahirkan keyakinan pihaknya akan dapat memperkukuhkan dan memperkasa kerja-kerja mengurus taman laut di pulau peranginan terkenal dunia itu.

"Kita akan memperkasa peranan daripada segenap aspek agar Taman Laut Pulau Tioman terus terjaga dan terpelihara selaras dengan visi dan misi jabatan," katanya.


0 comments:

share2