Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 4, 2017

NAJIB PELAWA SYARIKAT INDIA MELABUR DI MALAYSIA

Najib



NEW DELHI – INDIA. Syarikat-syarikat India digesa menjadikan Malaysia sebagai pilihan untuk tujuan pelaburan dan lokasi mengembangkan perniagaan masing-masing serta menjalin usaha sama baharu.

Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyifatkan kunjungannya selama enam hari ke India sebagai bukti komitmen Malaysia untuk memastikan keperluan para pelabur itu dapat dipenuhi.

"Kita akan terus menyediakan semua sokongan yang diperlukan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berkembang maju serta ekonomi yang berdaya saing dan dinamik.

"Saya gembira kerana pelabur dari India terus yakin terhadap Malaysia sebagaimana dipaparkan menerusi keputusan mereka untuk mengembangkan serta mempelbagaikan operasi sedia ada di Malaysia," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap di acara Makan Tengah Hari Perniagaan Malaysia - Forum Perniagaan India yang turut dihadiri kira-kira 500 pemimpin perniagaan kedua-dua negara, di Taj Palace di sini, hari ini.

"Saya perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri Narendra Modi di atas kesudian beliau menjadi tuan rumah biarpun berpuasa dan hanya minum air selama sembilan hari," kata Najib yang turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Modi pada Sabtu lalu.

Hadir sama pada majlis hari ini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan dan Industri India Nirmala Sitharaman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid, Presiden Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India (FICCI) Pankaj R Patel, Naib Presiden Gabungan Industri India (CII) Rakesh Bharti Mittal dan Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Sandeep Janjodia.

Mengulas selanjutnya, Najib berkata antara syarikat terkemuka India di Malaysia termasuk Reliance Group yang menumpukan perniagaan tekstil dan produk berkaitan; RP Chemical (bahan kimia dan produk berasaskannya); Biocon dan Ranbaxy (produk farmaseutikal); JG Containers (produk bukan logam); Forte International (produk plastik) dan Tamco Switchgear dalam industri elektrikal dan elektronik.

Syarikat lain termasuk ICICI Bank Limited dalam bidang kewangan; Tech Mahindra ICT Services, Wipro, Tata Consultancy dan Crest Business Solutions (teknologi maklumat), Sky Blue Media (sektor pengiklanan media) dan Manipal International dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Pada majlis itu juga, Najib menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman bernilai US$36 billon merangkumi sektor pembinaan, farmaseutikal, pendidikan dan latihan, industri halal dan hubungan dua hala dalam ekonomi.

Terdahulu, Nirmala memberitahu masyarakat perniagaan itu bahawa syarikat-syarikat Malaysia perlu memanfaatkan ikrar pembangunan infrastruktur sebanyak AS$1 trilion yang dibuat oleh Modi.

"Kami berbangga dapat menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur kerana mereka telah terbukti memiliki kepakaran bertaraf dunia, (terbabit dalam) projek moden serta canggih dan paling cekap dalam penyediaan prasarana berkelas dunia," katanya.

Selain itu, Najib turut menyebut beberapa syarikat Malaysia yang berjaya di India seperti AirAsia.

"Saya amat gembira melihat banyak syarikat Malaysia yang aktif di India, termasuk yang memainkan peranan utama dalam projek berprofil tinggi seperti pembinaan bangunan Perbadanan Perbandaran Pusat Sivik Delhi yang difahamkan adalah bangunan tertinggi di ibu negara anda," katanya.

Menurut Perdana Menteri, empat projek yang sedang dibincangkan termasuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Mumbai, Pembangunan Pinggir Laut Mumbai, Terminal Pengegasan dan Penyimpanan Terapung di Pelabuhan Andhra Pradesh serta misi Bandar Raya Pintar.

Syarikat-syarikat Malaysia turut terbabit dalam usaha membida enam projek lebuh raya di Rajasthan, kata Najib.

Pada 2016, India disenaraikan sebagai pelabur kesembilan terbesar di Malaysia dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai hampir AS$300 juta membabitkan lapan projek pembuatan.




0 comments:

share2