Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 8, 2017

[MARAN] RUMAH 3 SEKELUARGA MUSNAH

Kebakaran baru



Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang dialami anak peneroka, Saiful Shamsul Shuhairi Ghazali, 26, apabila rumah kediamannya bersama-sama ibu dan adik perempuannya, musnah dalam kebakaran di Felda Jengka 18 di sini, semalam.

Belum pun reda dengan kesedihan akibat kematian bapanya Ghazali Lebai Saari, 61, pada pertengahan Februari lepas, kali ini mereka sekeluarga berdepan musibah kebakaran yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

"Semasa kejadian 10 malam itu, saya tiada di rumah kerana menghadiri majlis ceramah perdana penceramah bebas Ustaz Kazim Elias di tapak pasar malam di Felda berkenaan," katanya di sini.

Beliau berkata ketika itu ibunya, Salmiah Saad, 60, dan adik perempuannya, Shamsul Suriani, 24, sedang berniaga di tapak pasar malam itu.

"Saya kemudian mendapat kiriman mesej daripada rakan menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan rumah saya terbakar," katanya. 

Setelah bergegas balik ke rumahnya, beliau mendapati semua barangan termasuk dokumen penting milik keluarga tidak dapat diselamatkan kerana api marak membakar rumahnya.

Bagaimanapun, katanya beliau hanya sempat menyelamatkan kereta Proton Persona miliknya yang ketika itu sudah hangus di bahagian bumper hadapan.

Saiful berkata mereka sekeluarga bagaiamanapun reda dengan ujian itu dan merancang menumpang sementara di rumah abangnya di kawasan Felda yang sama.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba Jengka Pegawai Bomba dan Penyelamat Kanan II Mat Zain Mat Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.06 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama-sama lima anggota.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kita mendapati rumah mangsa telah musnah keseluruhan dan api dapat dikawal setengah jam kemudian untuk mengelaknya merebak ke rumah berhampiran," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.




0 comments:

share2