Tidak pernah mengeluh atau berasa kecewa, sepasang suami isteri tabah membesarkan cahaya mata sulung mereka yang mengalami Celebral Palsy sejak dilahirkan.
Syd Mohd Radzee Syd Abdul Rahim, 39, berkata, perasaan itu sememangnya tiada dalam dirinya dan isteri Azizah Husin, 48, walaupun anak mereka, Syd Nazwan Amir, 11, seorang OKU.
Menurutnya, anaknya itu dijaga dengan sebaik mungkin walaupun mempunyai pendapatan tidak seberapa.
“Saya menerima kehadiran anak kami dengan penuh rasa gembira dan syukur,” katanya.
Dia ditemui ketika Majlis Perasmian ‘Big Heart Day’ anjuran Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Indera Mahkota, Wan Napi’ah Wan Yusof di Balok, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi PDK Kompleks Penyayang, Pai Syahira Yahya.
Pada majlis itu, Syd Mohd Radzee yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Pandan, di sini menerima Anugerah Bapa Cemerlang PDK Kompleks Penyayang.
Syd Mohd Radzee berkata, Syd Nazwan Amir mengalami kelewatan tumbesaran selain tidak boleh bergerak.
“Anak saya tidak berkembang seperti kanak-kanak normal dan tidak mampu berjalan serta hanya boleh bergerak dengan menggunakan kereta sorong bayi.
“Tetapi, kami tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus bersemangat mengasuh dan membesarkan dia seperti anak lain,” katanya .
Tukang jahit itu berkata, ketika anaknya dilahirkan, dia mengalami komplikasi sehingga menyebabkannya ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama kira-kira tiga minggu.
“Dia lahirkan dengan beratnya normal iaitu 3.6 kilogram. Namun doktor kata dia tidak bayi lain. Masa doktor jelaskan mengenai masalah yang dihadapi anak saya, saya tidak boleh berkata apa-apa.
“Saya terkejut, malah hati berat untuk menerima memandangkan Syd Nazwan Amir adalah anak pertama kami, namun lama-kelamaan saya dapat terimanya dengan hati yang terbuka. Saya kata kepada diri saya, dia adalah anugerah daripada ALLAH SWT, saya kena terima,” katanya.
Menurutnya, dia amat bersyukur kerana anaknya mudah dijaga walaupun mengalami masalah Celebral Palsy malah boleh makan nasi dan tidak banyak meragam.
Sementara itu, katanya, selepas menghantar anaknya di PDK, Syd Nazwan Amir menunjukkan perkembangan positif dan kini dia boleh mengenal huruf.
“Anak saya memang tidak bercakap, namun apabila kita cakap huruf, dia boleh tunjuk. Ada perkembangan semenjak saya hantar dia ke PDK,” katanya.
0 comments:
Post a Comment