Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 13, 2017

[KUANTAN] PAHANG WARTA 32 TAPAK WARISAN


Mohd Sharkar Shamsuddin


Kerajaan Pahang telah mewartakan 32 tapak warisan di seluruh negeri di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dalam usaha untuk memulihara nilai sejarah kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 5 Oktober 2016 dan setakat ini, proses pewartaan dimulakan dengan membuat carian rasmi di pejabat daerah dan tanah lokasi-lokasi tapak terlibat.

Mohd Sharkar berkata kelulusan itu susulan sesi taklimat oleh Jabatan Warisan Negara pada 12 Julai dan 17 Ogos 2016 yang memohon keizinan daripada pihak berkuasa Pahang untuk menetapkan 32 tapak wasisan tersebut.

"Jabatan Warisan Negara juga telah menerima permohonan tambahan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Lipis pada 28 Disember 2016 untuk mewartakan 10 tapak warisan di daerah itu.

Permohonan itu sedang dalam kajian lanjut di Jabatan Warisan Negara sebelum diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa Pahang bagi memohon keizinan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu tindakan dan usaha kerajaan negeri untuk mewartakan warisan negeri khususnya di Lipis, yang merupakan satu daripada ikon pelancongan Pahang.

Beliau juga menjelaskan bahawa daripada 32 tapak warisan itu, tujuh adalah di Lipis, namun senarai lengkap semua tapak warisan berkenaan hanya akan dikemukakan pada sesi penggulungan sidang Dun kelak.

Dalam soalan tambahannya, Mustapa membangkitkan kebimbangannya terhadap kemungkinan warisan Stesen Keretapi Lipis yang berusia 100 tahun akan lenyap ekoran kerja pembesaran stesen itu selain turut memohon agar stesen itu diwartakan sebagai tapak warisan.

Mohd Sharkar berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan Jabatan Warisan Negara dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Jabatan Warisan Negara sudah pasti mempunyai kriteria dan ciri-ciri sejarah yang perlu dipenuhi sebelum boleh diwartakan. Kita boleh minta KTMB supaya bangunan stesen itu dikekalkan dan dijaga atau dibina bangunan baharu dengan ciri sama dengan bangunan lama," katanya.

Mohd Sharkar juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited dalam memelihara warisan dan dan mempromosikan semua tapak warisan itu sebagai ikon pelancongan termasuk yang terletak di Lipis.

Antara tindakan yang diambil ialah penerbitan risalah dan melaksanakan promosi media cetak dan elektronik serta di media sosial termasuk membangunkan aplikasi 'Visit Pahang' oleh Tourism Pahang.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna telefon bimbit pintar sama ada Android atau Apple. Kandungannya memaparkan kawasan menarik, makanan tradisional dan aktiviti yang boleh dilakukan di destinasi pelancongan," katanya.


0 comments:

share2