KULAI - “Saya percaya panggilan berkenaan adalah sindiket scam yang menyatakan akaun bank saya terlibat dalam transaksi mencurigakan sebanyak RM14,330 sedangkan saya tidak mempunyai akaun di bank yang dinyatakan,”kata Dr Zaliha Mustafa,52, yang nayaris menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada seorang wanita kira-kira 8.46 pagi pada 15 Mac lalu yang mendakwa pegawai bank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sebelum panggilan disambungkan kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Katanya, wanita itu turut memperkenalkan diri sebelum membacakan nombor kad pengenalannya dan memaklumkan akaun banknya terpaksa dibekukan disebabkan empat transaksi kepada sebuah akaun bank lain yang mencurigakan.
“Gaya wanita itu memberi penerangan amat meyakinkan namun saya mengesyaki ada yang tidak kena memandangkan saya tidak mempunyai akaun bank terbabit jadi mengapa perlu ia dibekukan sedangkan transaksi yang dimaklumkan juga tidak wujud.
“Dia turut menasihatkan membuat laporan polis di Pulau Pinang sebelum menyambungkan talian kepada anggota polis kononnya bagi tujuan keselamatan dan lelaki berkenaan turut memperkenalkan dirinya,”katanya
Dia yang ditemui media di Pejabat Adun Bukit Batu, di sini, semalam berkata, selepas mendengar penjelasan anggota polis berkenaan, suspek minta untuk menghubungi saya semula namun meminta perbualan berkenaan tidak didengari mana-mana pihak.
Zaliha berkata, bagaimanapun perbualan antara dia dengan anggota polis berkenaan didengari suaminya dan menasihatkannya supaya tindak menjawab semula panggilan telefon daripada lelaki berkenaan.
“Saya terus menghubungi bank di cawangan Kulai dan memaklumkan mengenai panggilan diterima dan pihak bank mengesahkan saya tidak mempunyai akaun dengan mereka dan yakin panggilan berkenaan bertujuan memperdayakan orang ramai.
“Selepas selesai membuat panggilan, saya dapati ada tujuh panggilan yang tidak dijawab disyaki nombor talian tetap di Pulau Pinang namun disebabkan saya tidak menjawab, kedua-dua suspek terbabit tidak menghubungi telefon bimbit saya lagi,”katanya.
Susulan kejadian itu, Zaliha membuat laporan polis di Balai Polis Kulai pada hari kejadian.
Dalam pada itu, dia turut membuat satu sidang media bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai sindiket penipuan berkenaan.
Sementara itu, Adun Bukit Batu, Jimmy Puah berkata, sindiket terbabit menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya orang ramai dengan membuat panggilan secara rambang.
“Ada juga sindiket menggunakan email untuk tujuan penipuan melibatkan urusan perbankan elektronik.
“Disebabkan pengetahuan Zaliha dan sikapnya yang tidak panik, dia terselamat daripada sindiket penipuan berkenaan,”katanya.
0 comments:
Post a Comment