Penantian 190 penduduk di Felda Sungai Koyan dan Felda Tersang memiliki rumah sendiri sejak tiga tahun lalu berakhir selepas mereka menerima surat tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda Sungai Koyan, semalam.
Seorang penerima Mohd Nizam Othman, 31, melahirkan rasa gembira dan terharu kerana menjadi salah seorang penerima yang layak untuk menduduki rumah tersebut.
Menurutnya, pemberian rumah tersebut disifatkan sebagai ‘rezeki terpijak’ kerana ia merupakan satu nikmat buat generasi muda untuk mendiami rumah sendiri.
“Saya mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu dan dah lama simpan hasrat untuk memiliki kediaman sendiri kerana selama ini saya hanya menumpang di rumah ibu bapa di Felda Tersang.
“Kini impian saya dah tercapai dan saya berjanji akan menjaga rumah ini sebaik mungkin,” katanya.
Dia berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda Sungai Koyan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Exco Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun.
Seorang lagi penerima, Jah Faridah Bedu, 51, berkata, pemberian kediaman tersebut memberi peluang kepada generasi muda yang berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.
Ibu dua cahaya mata itu berkata, usaha Felda bersama pemimpin masyarakat dalam pemberian rumah itu telah menterjemahkan dengan baik gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Untuk beli kediaman di bawah projek swasta saya tak mampu apatah lagi nilai hartanah semakin meningkat naik sejajar dengan pembangunan kawasan sekitar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak Felda serta pemimpin setempat yang prihatin dengan nasib generasi baharu di tanah rancangan untuk memiliki rumah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment