Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 1, 2017

[BERA] ‘MUJUR SAYA CARUM PERKESO'


‘Mujur saya carum Perkeso’


Seorang lelaki yang berpengalaman lebih 20 tahun bekerja di sebuah kilang pengeluaran kenderaan tempatan terpaksa melepaskan kerjaya dengan pendapatan lumayan itu selepas disahkan mengalami masalah tulang belakang.

Mohd Ridzuan Abdul Rahman, 40, berkata, masalah itu disedari sejak empat tahun lepas, apabila dia tidak mampu tidur lena dan kerap sakit di bahagian belakang dan pinggang, malah tidak boleh memandu lebih dari satu jam.

Menurutnya, dia segera melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik panel syarikat, serta melalui ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) sehingga disahkan mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan pinggul.

“Sekarang, saya tidak lagi boleh bekerja di tempat kerja saya sebelum ni sebab kerja-kerja itu berat membabitkan aktiviti berdiri, membongkok, bangun dan duduk dalam tempoh yang panjang. Jadi, dengan keadaan ini, saya tidak mampu laksana tanggungjawab dengan baik.

“Bagaimanapun, saya dinasihatkan pihak majikan untuk membuat tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memandangkan saya telah mencarum selama 21 tahun saya bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal yang diterima itu sekurang-kurangnya dapat membantunya meneruskan kehidupannya, selain pendapatan yang diperoleh menerus kebun sawit milik ayahnya yang diusahakan.

“Mujur saya mencarum dengan Perkeso, dan dapat bayaran faedahnya apabila berlaku kes-kes sebegini. Alahmdulillah, saya masih ada pendapatan walaupun tidak bekerja. 

“Kesempatan ini, saya menasihatkan semua yang bekerja supaya mendaftar dan mencarum dengan Perkeso kerana itu adalah hak kita,” kata.

Sementara itu, berdasarkan siasatan pihak Perkeso, Mohd Ridzuan mengalami hilang upaya kekal iaitu hilang upaya yang berkekalan hingga mengurangkan keupayaan seseorang pekerja untuk menjalankan pekerjaannya.

Pengurus Perkeso Temerloh, Tarmizi Mukhtar berkata, orang berinsuran bekerja (OBK) itu didapati mengalami hilang upaya kekal sebanyak enam peratus, dan dipercayai ia mungkin peratusan itu mungkin meningkat dalam tempoh tertentu.

“Bayaran faedah yang dibayar kepada Mohd Ridzuan berdasarkan kepada peratusan hilang upaya kekal sekarang. Jika pada masa akan datang, peratusan itu meningkat, akan ada pengiraan baharu. Dia masih perlu dapatkan pemeriksaan doktor dari masa ke semasa. Jika ada perubahan (bertambah teruk), dia boleh maklumkan kepada Perkeso,” katanya.

Cek bayaran faedah disampaikan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman.


0 comments:

share2